KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempelawa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk berdebat melibatkan topik 'bagaimana merancakkan ekonomi dengan mencetak wang'.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam kemas kini di laman X berkata, isu tersebut perlu dibahaskan kerana ia "idea yang paling bernas mengenai ekonomi yang pernah datang daripada Perikatan Nasional (PN)".

"Walaupun debat secara langsung ini menyebabkan kos yang besar kepada penganjur, demi ekonomi Malaysia, saya sudi berbincang dengan RTM (RadioTelevisyen Malaysia), Astro dan lain-lain," tulis Rafizi dalam kemas kini tersebut.


Rafizi berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Wan Ahmad Fayhsal di laman sosial sama, yang mengatakan jemputan Rafizi sebelum ini bukan debat secara langsung tetapi melibatkan sesi podcast.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu dalam kenyataan balas kepada seorang pengguna media sosial turut mencabar pihak kerajaan untuk berdebat mengenai isu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),  Global Infrastructure Partners (GIP) dan BlackRock.