Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kerjasama itu bukan sahaja dengan UMNO, tetapi juga semua pihak atas nama penyatuan Islam.
"Perpaduan ummah ini tidak mati, bahkan saya fikir dan tengok hubungan Pas dengan UMNO di peringkat akar umbi, di cawangan dari dulu sejak ada MN (Muafakat Nasional) semakin baik, hubungan kekal cuma bezanya mereka duduk dalam UMNO.
"Kita duduk dalam Pas, tapi mereka sokong dan senyap dalam memberi undi dan itu baik untuk kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-65 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur di Kerdau pada Khamis.
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan pada ketika ini tidak berperanan dalam mempertahankan Islam sehingga pemimpin DAP begitu lantang bersuara.
"Jadi, Kalau orang tidak ikut cakap kita, tidak hormat pandangan kita keluar sahaja lah. Lebih baik pertahankan prinsip daripada pertahankan undi. - Sinar Harian