Setiausaha Dewan Pemuda Pas Selangor, Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, cadangan tersebut dijangka mampu meningkat sokongan masyarakat bukan Melayu dan kaum-kaum lain, sekali gus meraih undi tambahan.
"Bila kita berkahwin merentas kaum atau pun budaya, kita bukan sekadar boleh menangkap satu undi, tapi Insya-Allah meraih ratusan undi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-65 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur di Kerdau pada Khamis.
Namun begitu, cadangan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan perwakilan.
Bagaimanapun, pengerusi majlis terpaksa menenangkan keadaan apabila suasana menjadi semakin panas, memanggil hadirin untuk bertenang.
Pengerusi juga memberi jaminan bahawa wakil pemuda Selangor bersedia untuk mendahului inisiatif ini jika ia diterima baik.
Dalam pada itu, Aubidullah meminta agar semua perwakilan pemuda supaya bekerja keras bagi memastikan Selangor dapat di tawan pada Pilihan Raya Umum ke-16.
"Ini masa untuk kita bekerja, tiada lagi masa untuk bersenang- lenang, apabila kembali ke kawasan masing-masing kita merancang strategi bagi memenangi Pas dan PN (Perikatan Nasional)," ujarnya. - Sinar Harian