Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan, peringatan tersebut sesuai dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi pembangkang yang sering mengajak rakyat turun ke jalanan bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan ketika itu.
"Dulu dia sanggup tidur di jalan raya untuk bersuara, kini setelah diberi kuasa, menjadi penguasa yang zalim mengunci mulut rakyat, menangkap mangsa, membalas dendam kesumat yang sekian lama membara.
"Wahai sang penguasa, kami ingin memberitahu kamu. Semakin kamu menutup mulut kami untuk bersuara menyatakan kebenaran, semakin tinggi semangat juang kami untuk bangkit melawan kemungkaran.
"Kami tidak rela negara yang tercinta ini dilacurkan oleh nafsu buas kamu yang songsang. Kami rela mati perjuangkan kebenaran sampai beroleh kemenangan. Jangan kamu sangka kuasa ini akan kekal selamanya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Pemuda Pas kali ke-65, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mendakwa, kebebasan bersuara rakyat dihalang oleh kerajaan pada hari ini, malah turut mengenakan tindakan tegas dan melampau.
Menurutnya, tindakan ala kuku besi itu terbukti menerusi laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang jatuh 34 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
“Maknanya kebebasan media, bersuara di Malaysia semakin teruk disekat. Kerajaan Madani semakin menjadi kuku besi, sedangkan mereka yang menjadi hero melaungkan tentang kebebasan media, memperjuangkan hak asasi manusia untuk bersuara, turun ke jalan raya, berguling dan tidur atas jalan suatu ketika dulu kerana memperjuangkan hak.
“Kita tahu semua ini kerana sebahagian kita yang ada hari ini pernah turun ke jalan raya bersama mereka pada waktu itu, sama-sama kena gas pemedih mata, basah pedih kena sembur dengan meriam air.
“Rupa-rupanya, dahulu dia sanggup tidur di jalan raya untuk bersuara, kini setelah diberi kuasa, menjadi sang penguasa yang zalim mengunci mulut rakyat,” tegasnya. -- Sinar Harian