Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang kecewa lalu meninggalkan perjuangan parti sebagai pemimpin yang tiada daya tahan dan kesabaran.

Ahmad Zahid berkata pemimpin berkenaan, sama ada di peringkat nasional atau negeri Sabah, akibat tiada daya tahan dan kesabaran akhirnya membuat keputusan yang salah kerana ketika itu mereka dalam keadaan marah, tertekan dan kecewa.

"Alhamdulillah, kita di dalam UMNO dan kita di dalam BN, biarpun kita diasak, biarpun kita 'diterajang', biarpun kita 'disepak' (dengan pelbagai tuduhan dan fitnah), kesabaran kita tetap bersama UMNO dan BN," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Bagandang, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Anggota Parlimen Beafort Datuk Azizah Mohd Dun.

-- BERNAMA