Ujarnya, pertemuan diadakan di ibu negara itu berjalan lancar diantara dua gabungan parti politik itu.
"Di Kuala Lumpur, pertemuan berjalan penuh mesra, apa pun kita setuju menyerahkannnya kepada Tuanku.
"Serah itu makna ia dalam makluman Tuanku," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Ujar Tuan Ibrahim yang juga wakil Perikatan Nasional (PN) Pahang, perbincangan lanjut akan dijalankan sekiranya perlu.
"Asasnya dah selesai, namun kita sedia jumpa bila-bila masa sekiranya ada perkara penting untuk dibincangkan," katanya lagi.
Terdahulu, beliau berkongsi gambar bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama rombongan PN hari ini.
Jelas Tuan Ibrahim, beliau memohon agar rakyat mendoakan kebaikan untuk negeri Pahang.
Ketika ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang masih tergantung selepas tiada gabungan politik yang mendapat majoriti mudah 22 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi DUN, diikuti BN peroleh 16 kerusi DUN dan PH pula hanya lapan kerusi DUN.
Ketika ini, satu kerusi DUN di Tioman akan dijalankan proses pengundian pada 7 Disember depan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada awal pagi Sabtu.