Ahli-ahli Sekretariat Pakatan Harapan mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang secara rasmi menolak persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pilihan tersebut diambil memandangkan dua negeri terbabit mempunyai kuasa berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kami akan mencadangkan kepada kedua-dua negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang, kerana ikut perlembagaan, Kerajaan Negeri boleh bantah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas Mesyuarat Sekretariat Pakatan Harapan.

Mesyuarat itu turut memutuskan 10 perkara, termasuk cadangan majlis tempatan di kedua-dua negeri menyertai langkah itu sebagai penggubal undang-undang negeri, menganjurkan roadshow dalam menerangkan isu persempadan semula kepada rakyat dan menyokong langkah PKR mengadakan petisyen kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Parti-parti komponen pakatan iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara juga akan membantah persempadanan semula di kawasan masing-masing.

Sekretariat juga mengumumkan bahawa pihaknya akan menyokong Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dalam usaha mengemukakan hujah rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi menghapuskan kuasa persempadanan semula dari SPR.

Antara ahli parlimen lain yang turut hadir pada sidang media itu termasuk wakil Amanah, Khalid Samad dan Dr Hatta Ramli dan DAP, Ong Kian Ming.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak melihat isu persempadanan semula oleh SPR sebagai soal pihak mana yang akan menang atau kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti tetapi ia lebih kepada sama ada cadangan persempadanan tersebut dibuat berdasarkan prinsip yang adil bagi rakyat.

Manakala dalam satu kenyataan, SPR menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah dibuat untuk kepentingan pihak tertentu.