"Saya amat berbesar hati untuk mencalonkan Scott Bessent untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat ke-79," kata Trump di Truth Social, platform media sosialnya.
Beliau menyifatkan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Key Square Group, sebuah firma pelaburan makro global, sebagai individu yang "telah lama menjadi penyokong kuat Agenda America First."
Dilahirkan di Conway, Carolina Selatan, Bessent membawa pengalaman selama 35 tahun dalam industri pengurusan pelaburan.
Perniagaan firmanya merangkumi industri termasuk pertanian, hospitaliti, penerbitan dan hartanah, menurut biografi yang disertakan dalam pengumuman Trump.
Lulusan Universiti Yale pada 1984, Bessent juga pernah menjadi profesor adjung dalam bidang sejarah ekonomi di universiti itu.
Beliau adalah ahli Majlis Hubungan Luar Negeri dan Kelab Ekonomi New York.
Jawatan Setiausaha Perbendaharaan merupakan antara jawatan terpenting dalam Kabinet AS.
Calon yang dilantik perlu mendapatkan pengesahan daripada Senat sebelum memegang jawatan. - BERNAMA