"SUKAR untuk kita nak hantar bantuan kemanusiaan, lebih-lebih lagi bila kami teringat dengan ratusan anak yatim di Ghouta."

Itu antara luahan dan pendedahan yang dikongsikan Naib Pengerusi Syria Care, Ustaz Rizal Ali ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu mengenai nasib penduduk bumi Ghouta.

"Semenjak minggu lepas lagi, saya kerap mendapat panggilan daripada beberapa individu yang menetap di sana (Ghouta) merayu untuk mendapatkan bantuan.

"Saya tak tahu nak jawab apa, saya dan pihak Syria Care hakikatnya masih memikirkan cara yang bagaimana dan cara apa lagi untuk kami cuba untuk membantu mereka," jelasnya lagi.

BACA: Hanya Tuhan mampu selamatkan penduduk Ghouta?

Misi bantuan kemanusiaan yang dihulurkan oleh NGO
Misi bantuan kemanusiaan ke Syria - Foto SOHR

Semuanya gara-gara sikap bengis Presiden Syria, Bashar al-Assad yang mengumumkan telah menyekat sebarang dan apa sahaja misi bantuan kemanusiaan dari masuk ke Timur Ghouta.

Bashar al-Assad
Presiden Syria, Bashar al-Assad - Foto Reuters
Perbincangan Damai Sochi yang diusahakan Rusia bertajuk 'Dialog Kebangsaan Kongres Rakyat Syria', yang diadakan Januari lepas sekadar melepaskan batuk di tangga.

Begitulah perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan situasi di Timur Ghouta.

Dalam tempoh 48 jam 2,400 serangan udara tanpa henti, pelbagai jenis bom gugur sehingga mengorbankan lebih 250 nyawa yang tidak berdosa, maut begitu sahaja.

Keadaan penduduk Ghouta diserang Rejim Bashar
Suasana serangan di Timur Ghouta. - Foto SOHR

Lebih 400,000 penduduk yang sebelum ini hidup di bumi Ghouta nampak gayanya bakal susut secara mendadak.

Kediaman, bangunan musnah teruk akibat serangan pemberontak
Kesan serangan rejim Bashar ke atas Timur Ghouta. - Foto SOHR

Berdasarkan laporan Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), tiada tempat yang selamat untuk mereka berlindung kerana semua bangunan dan kawasan penempatan telah menjadi sasaran bom dan roket tentera kerajaan dan konco-konco Bashar.


Sebagai tanda solidariti, Syria Care dan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) bakal menyampaikan memorandum kepada Kedutaan Rusia di Malaysia pada Khamis.

"Kerana kita melihat, Rusia ada beberapa negara yang memainkan peranan penting dalam konflik di Syria diantaranya Rusia, Iran dan Turki.

"Kalau kita lihat ketiga-tiga negara ini terlibat secara lansgung didalam konflik untuk menghentikan keganasan yang berlaku', kata Rizal.

Bagaimanapun, Ustaz Rizal Ali sempat berkongsi bait-bait akhir menutup perbualannya.

"Usaha ini tidak harus berhenti setakat memberi memorandum ketika berlaku sesuatu peristiwa besar, ianya harus dilakukan secara berterusan.

"Suara kita kecil, tetapi kita tidak harus membenarkan suara kecil kita bergerak suara kecil kita harus dibesarkan dan disampaikan dengan usaha-usaha tertentu dan usaha harus bertetusan tanpa henti sehingga kemanusiaan dapat dikembalikan kepada rakyat Syria," tambahnya lagi.