Anas mengumumkan perkara itu dua hari selepas beliau dilantik oleh kepimpinan baharu negara itu.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di agensi berita rasmi SANA, Anas berkata, institusi keselamatan akan direformasi sepenuhnya selepas semua perkhidmatan sedia ada dibubarkan dan distruktur semula dengan cara yang menghormati rakyat Syria.
Beliau turut mengakui penderitaan rakyat Syria selama ini di bawah penindasan dan kekejaman rejim terdahulu yang menggunakan pelbagai perkhidmatan keselamatan untuk menindas, menyebarkan rasuah dan menyeksa rakyat.
Selepas kejatuhan Assad pada awal Disember, penjara-penjara yang sebelum ini menjadi simbol kekejaman rejim telah dikosongkan apabila pegawai dan agen-agen rejim melarikan diri.
Kebanyakan kemudahan itu kini dijaga oleh pejuang Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) yang mengambil alih kuasa di Damsyik.
Ramai rakyat Syria bergegas ke pusat-pusat tahanan lama dengan harapan dapat menemukan jejak saudara mara dan rakan-rakan sepanjang 13 tahun perang saudara yang meragut lebih 500,000 nyawa.
Menurut badan pemantau hak asasi manusia Syria (SOHR), terdapat lebih 100,000 individu dilaporkan maut di penjara dan pusat tahanan sepanjang konflik berlangsung.
Pada Khamis, seorang jeneral yang bertanggungjawab ke atas kehakiman tentera rejim terdahulu telah ditahan di barat Syria atas dakwaan menjatuhkan hukuman mati terhadap ribuan tahanan di penjara terkenal Saydnaya.
Di peringkat antarabangsa, beberapa bekas pegawai kanan perisikan Syria yang dituduh melakukan penyeksaan dan pelanggaran hak asasi manusia telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara di Eropah sejak 2022.