"Tidak perlu tahu dari mana dana politik yang penting ia mencukupi untuk pilihan raya," tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, dasar berkenaan sudah terpakai sejak kepimpinan UMNO sebelum ini.

Ismail juga menegaskan, persoalan dana parti politik tidak pernah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi ataupun Pengerusi Perhubungan Negeri.

"Sewaktu saya menjadi MT tidak dimaklumkan, di perhubungan negeri pun. Saya sudah menghadapi beberapa pilihan raya Pengerusi Perhubungan Negeri tidak pernah juga memaklumkan berapa jumlah negeri dapat sumbangan sewaktu pilihan raya.

"Kita juga tidak pernah menimbulkan perkara tersebut kerana kita tahu apa yang diperolehi tidak perlu dimaklumkan kerana kita perlu bergerak di dalam pilihan raya," katanya.

Sebelum ini , Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional , Tan Sri Shahrir Samad menegaskan, sumbangan politik ke akaun pemegang amanah presiden adalah satu kebiasaan.

Malah katanya, jawatankuasa perhubungan negeri dan MT tidak pernah diberitahu mengenai apa-apa sumbangan atau derma politik yang diterima.

Dalam pada itu Ismail menyifatkan, desakan beberapa ahli UMNO agar Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur hanya satu pandangan peribadi.

Pandangan itu katanya datang daripada bahagian UMNO yang sedang mengadakan persidangan kini dan tidak mewakili hasrat UMNO negeri.