JOHOR BAHRU: Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad menafikan beliau berniat menyoal hak Raja-raja dalam menentukan urusan pelantikan Menteri Besar Johor.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu sebaliknya berkata, beliau adalah seorang demokrat, iaitu bukan seorang ‘royalist', dan tidak pula tegar UMNO.

Jelasnya, beliau tidak akan menyokong parti sepanjang masa dalam soal tersebut dan tidak juga sepanjang masa menyokong raja.

"Saya bagi contoh. Semasa krisis perlembagaan berikutan Agong tidak berkenan kepada undang-undang yang telah Parlimen luluskan, saya bersama parti.

“Apabila parti pula nak mansuhkan Timbalan Setia Johor (JMF), saya melobi Datuk Ghani Othman untuk minta ditarik balik rang undang-undang itu.

"Maka, selamatlah suatu warisan negeri Johor,” katanya lagi, sambil memberi satu lagi contoh iaitu apabila kepimpinan UMNO satu masa dulu dakwanya, pernah mengarahkan peringkat negeri memulau Almarhum Sultan Iskandar.

Namun, katanya, beliau sendiri membawa Jawatankuasa Bahagian UMNO Johor untuk berhari raya dengan Almarhum Tuanku di Istana Bukit Serene.

“Jadi, saya bukan 'royalist' atau tegar UMNO. Saya ada prinsip saya sendiri sebagai seorang demokrat,” tegasnya.

BACA: Hasni tidak jadi MB, Shahrir Samad malu hadir Perhimpunan Agung UMNO

BACA: Lobi jawatan MB Johor: "Biar UMNO menang PRN dulu" - Hasni

Baru-baru ini Shahrir menerusi catatan di Facebook mengakui berada dalam keadaan yang tidak menyenangkan susulan Istana Johor memperkenankan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik selaku Menteri Besar Johor yang baharu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat di sebalik naratif UMNO dan Barisan Nasional sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Johor bahawa Datuk Hasni Mohammad akan terus menjadi Ketua Kerajaan Negeri.