Komponen Barisan Nasional (BN) Johor seperti MCA, MIC dan Gerakan dijangka berdepan 'kejutan' sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti memandangkan strategi agresif DAP dan Pakatan Harapan di selatan tanah air itu, kata Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Beliau berkata, tindakan DAP yang berani membawa calonnya yang lebih muda ke kubu kuat MCA dan Gerakan mungkin akan memberi kelebihan memandangkan masyarakat, terutamanya pengundi pertama kali mahu melihat muka-muka yang lebih muda untuk mewarnai arena politik negara ini.
"Memang jelas strategi DAP iaitu dengan memindahkan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, ke Parlimen Ayer Hitam bagi berhadapan dengan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, adalah untuk menunjukkan parti mana lebih relevan dalam kalangan masyarakat Cina.
"Secara teorinya, Pakatan Harapan melihat, Johor sebelum ini adalah benteng kepada UMNO di Semenanjung Malaysia, dan sekiranya PH berjaya menumbangkan BN di Johor, maknanya negeri-negeri lain tidak akan ada masalah untuk ditumbangkan oleh pembangkang, itu secara teorinya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
BACA: #MalaysiaMemilih: "BN masih tiada tempat di hati kaum Cina" - Penganalisis
BACA: 50 peratus calon MCA 'orang muda' - Liow
Awang Azman berkata, walaupun Ka Siong sudah bertahan selama tiga penggal di Ayer Hitam bermula 2004, namun harus diingatkan, prestasinya dari segi undi majoriti semakin menurun, daripada 15,763 undi (2004), turun ke 13,909 undi (2008), dan turun 7,310 pada PRU lepas.
Untuk rekod, BN Johor menyandang 20 daripada 26 kerusi parlimen, dengan UMNO (15), MCA (3), MIC (1) dan Gerakan (1).
Di sebelah Pakatan Harapan pula, DAP menyandang empat kerusi, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR masing-masing satu.
Selain memindahkan Liew Chin Tong, DAP juga dikatakan akan membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama Yeo Bee Yin, yang juga merupakan anak kelahiran Segamat untuk bertanding di Johor.
Awang Azman berkata, walaupun pola pengundian dijangka agak stabil dan masih memihak kepada UMNO, di sebalik serangan bertali arus pembangkang yang banyak bergantung harap pada isu nasional, namun ia mungkin berbeza untuk rakan komponennya dari MCA, MIC dan Gerakan.
Naib Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong hanya mampu mempertahankan parlimen Labis dengan majoriti tipis 353 undi, manakala Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam pula mempertahankan Segamat dengan 1,217 undi majoriti.
“DAP tahu bagaimana ahli politik mereka yang muda seperti Chin Tong dan Bee Yin mampu meraih sokongan yang lebih, dan saya rasa BN Johor, terutamanya MCA, MIC dan Gerakan perlu mempelbagaikan strategi bagi mempertahankan kawasan masing-masing,” katanya lagi.
Awang Azman berkata, berdasarkan dua kerusi parlimen pilihan Panel Penyelidik UM iaitu Gelang Patah dan Pasir Gudang, yang dapat menggambarkan sentimen politik keseluruhan Johor, dua isu yang tertinggi ialah mengenai kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan isu tadbir urus.
Katanya lagi, sekiranya BN Johor mampu mencari penyelesaian yang lebih baik untuk menangani ketiga-tiga isu ini, mungkin impak ‘kejutan’ itu dapat dikurangkan.