Veteran UMNO menyifatkan tawaran Tengku Razaleigh Tengku Hamzah untuk merebut posisi Presiden UMNO ibarat bomoh luar yang hadir untuk memulihkan keyakinan ahli terhadap parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub mencadangkan, Tengku Razaleigh sebagai Presiden UMNO manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Naib Presiden.

“Untuk mengubati penyakit hilang keyakinan kepada UMNO, kita perlu bomoh luar, bomoh dalam dah tak boleh pakai.

“Bukan saya kata Zahid tidak layak untuk jawatan Presiden Umno tetapi kita perlu gandingan Ku Li dan Zahid . Ini untuk memulihkan keyakinan ahli Umno, kita perlukan bomoh luar, doktor dari luar. Ku Li bomoh luar, Ku Li doktor luar,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media Tengku Razaleigh di kediamannya, di sini, hari ini.

BACA: Tengku Razaleigh tawar diri bertanding Presiden UMNO

BACA: Singkir Najib dari UMNO? Ini jawapan Tengku Razaleigh



Mustapha berkata, tawaran Ku Li ini berdasarkan kepada demokrasi yang ada dalam UMNO.

“Saya yakin beliau juga buat keputusan itu melihat kepada sokongan daripada sokongan daripada bahagian, ini satu perkembangan yang sihat.

“Lagipun jawatan itu pun kosong, Zahid hanya pemangku menjalankan tugas, Ku Li bukan merebut jawatan sesiapa. Veteran menganggap ia pertandingan yang sihat,” jelasnya.