Enam resolusi telah dipersetujui dalam Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2.0 hari ini untuk dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 29 November hingga 3 Disember nanti.

Resolusi itu diumum Presidennya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bertemakan menginsafi, mensyukuri dan mengiktiraf sumbangan UMNO.

Ia turut meliputi aspek pendidikan, ekonomi dan agama.

Berikut resolusinya yang sudah diluluskan:
  1. UMNO dan kepimpinannya tidak seharusnya berganjak untuk sentiasa memastikan kelangsungan agenda membina peradaban bangsa dan agama.
  2. UMNO perlu terus teguh dan tidak mudah longgar daripada prisip perjuangan meskipun difitnah, ditohmah dan diremehkan dalam mendepani dunia peperangan persepsi yang hebat dan gawat.
  3. UMNO perlu menumpukan aspek pentarbiyahan parti berpandukan model Rasulullah SAW dalam membina negara bangsa agar akar yang membina parti ini terus kukuh.
  4. UMNO perlu lebih bersifat substantif dan bijaksana dalam memasyarakatkan dan mempromosikan semua dasar, pelan, rancangan, program dan projek yang telah dilaksanakan.
  5. UMNO dan kepimpinannya perlu mencari formula terbaik untuk menyatukan umat Melayu Islam atas prinsip Ta'awun atau bekerjasama atas perkara kebaikan dan ketaqwaan.
  6. UMNO perlu terus menyemarakkan falsafah Melayu hebat, bermaruah dan berkat sebagai falsafah kehidupan selaras prinsip Islam berteraskan hubungan dengan Allah dan manusia.

Resolusi kemudian diserahkan kepada Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas khas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, usul yang terhasil daripada konvensyen yang memasuki tahun kedua penganjuran itu membuktikan UMNO mengambil kira semua pendapat dalam membahaskan usul.

Pandangan tidak hanya diambil daripada kalangan anggota parti malah pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan serta golongan intelektual.

"Pada waktu sama, kita tak ketepikan bahawa kemajmukan kita. Kita berada dalam plural society, masyarakat majmuk, ertinya agama lain bangsa lain budaya dan keturunan lain rakyat Malaysia tidak diketepikan.

"Berdasarkan pada itu, saya merasakan jurucakap-jurucakap yang akan bahaskan usul yang telah dipersetujukan bersama, dan juga usul-usul yang mungkin tidak dibahaskan, tetapi dicatat sebagai usul-usul untuk dikaji pihak kerajaan akan dapat diteliti sebaik-baiknya," katanya.

Beliau turut menegaskan jurucakap perwakilan bebas untuk membahaskan isu-isu pada perhimpunan agung nanti.

Bagaimanapun mereka diingat untuk mematuhi perkara yang termaktub dalam perlembagaan parti iaitu tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti hal agama, bangsa dan keturunan rakyat Malaysia.

"Kita mahu semangat keMelayuan tidak menyebabkan kita ditafsirkan bahawa kita mengetepikan keperluan lain-lain bangsa, agama dan keturunan," katanya.