Ringkasan AI
- UMNO akan menggerakkan jentera parti untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan, Joohari Ariffin, dalam PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai.
- Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN DUN Sungai Bakap, dengan Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Ketua War Room PRK.
- UMNO akan membantu kerajaan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menyokong penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG untuk melindungi dan melatih 1.16 juta pekerja gig.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, malam ini.
"UMNO telah menamakan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (MT UMNO) selaku Pengarah Pilhan Raya BN DUN Sungai Bakap, Datuk Musa Sheikh Fadzir (Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang) selaku Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan (MT UMNO) selaku Ketua War Room PRK Sungai ??kap," katanya dalam kenyataan malam ini.
Pada 12 Jun, bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara Joohari Ariffin diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan, yang akan bertanding pada PRK DUN Sungai Bakap.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai, sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros, dengan majoriti 1,563 undi.
Selain itu, Asyraf memaklumkan mesyuarat juga telah bersetuju bahawa Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 21 hingga 24 Ogos 2024.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata mesyuarat MT UMNO turut membincangkan mengenai tanggungjawab UMNO untuk membantu kerajaan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Asyraf berkata usaha itu bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan di 1,345 institusi TVET seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya.
"UMNO mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan yang menyahut cadangan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG.
"UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran, untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET peningkatan dan pemahiran semula, melalui Majlis TVET Negara yang juga dipelopori dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO," katanya.
-- BERNAMA