KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga anggota penguat kuasa sebuah jabatan di sini hari ini bagi membantu siasatan melibatkan sindiket pemalsuan pembaharuan pasport atau pasport 'terbang'.

Menurut sumber, risikan yang dijalankan selama sebulan berjaya membongkar sindiket itu disyaki memberikan rasuah kira-kira RM300,000 kepada penguat kuasa terbabit dan sindiket dipercayai bergerak aktif sejak tahun lepas.

Semua suspek lelaki berusia 40-an hingga 50-an ditahan kira-kira 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah di sini.

"Kesemua suspek yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2023 sehingga kini dan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 setiap pemohon pasport.

"Siasatan awal mendapati seramai 100 pemohon terlibat dan modus operandi adalah dengan memalsukan tandatangan penerima serta memanipulasikan sistem cap jari pemohon sedangkan peraturan menetapkan pemohon perlu hadir sendiri di agensi untuk mengambil pasport yang diluluskan," menurut sumber.

Anggota penguat kuasa yang terlibat kemudian menyerahkan pasport kepada orang tengah tanpa kehadiran pemohon yang masih berada di luar negara.

Hasil siasatan menunjukkan penguat kuasa terbabit menerima wang rasuah daripada agen secara pindahan wang ke akaun bank milik seorang daripada penguat kuasa itu yang kemudian mengagihkan kepada rakannya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu sambi menambah kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu esok bagi mendapatkan permohonan reman dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat berhubung kes ini.

-- BERNAMA