TATKALA pilihan raya umum Parlimen Britain menyaksikan kejutan dengan Parti Buruh kembali untuk membentuk kerajaan pusat selepas hampir dua dekad, kempen pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap, Pulau Pinang, dalam negara, selama 14 hari akan menutup tirai tengah malam nanti.

Sepanjang dua minggu lalu Sungai Bakap yang lazimnya kelihatan ‘sunyi’ terutama selepas lewat petang, sangat sibuk sepanjang masa dengan kehadiran kenderaan dan gelombang pemimpin politik, pekerja dan penyokong mereka.

Sungai Bakap mula terkenal secara langsung di seluruh negara, malah di banyak negara di peringkat global. Itulah kekuatan pilihan raya, yang mempromosikan negara dan parti-parti politik.

PRK telah mengubah wajah Sungai Bakap yang telah menarik minat dan tumpuan banyak pihak. Hampir kesemua pemimpin politik telah berkampung untuk memikat pengundi untuk keluar mengundi dalam jumlah yang tinggi, lebih tinggi berbanding Ogos lalu.

Sementara masing-masing gabungan yang bertanding – Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yakin akan menang di Sungai Bakap, salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian Parlimen Nibong Tebal, dengan tumpuan besar adalah ke atas tiga perkara utama.

Pertama, sama ada kerusi yang terdiri daripada lebih 39,000 pengundi ini akan kekal di tangan PN yang menurunkan wakil PAS ataupun bakal beralih kepada pesaing ketat mereka PH esok. Dalam Pilihan Raya Umum Negara (PRN) Ogos lalu, PN menawan kerusi itu, di bawah saingan satu lawan satu yang diiringi gelombang hijau, dengan majoriti 1,563 undi. Nor Zamri Latiff atau Abang Zam dari PN memperoleh 15,433 undi manakala lawannya, Nurhidayah Che Rose dari PH, memperoleh 13,870 undi. Daripada 16 kali saingan pilihan raya sejak kali pertama pada tahun 1959, tiga kali kerusi itu disandang oleh PKR, komponen PH (dahulunya Pakatan Rakyat), manakala baki oleh Barisan Nasional (BN), yang tidak bertanding Ogos lalu atas semangat kerjasama politik BN dan PH yang membentuk kerajaan perpaduan 18 bulan yang lalu.

Aspek kedua berkait rapat dengan aras majoriti kali ini. Semasa PRN Ogos lalu, PN merekodkan majoriti 1,563 undi. Selain mahu menang di Sungai Bakap, parti yang menang mahu merekodkan majoriti yang besar berbanding keputusan 10 bulan yang lalu. Kempen selama dua minggu kali ini mencerminkan yang pemimpin mereka mahukan majoriti lebih besar. PN dan PH mahukan majoriti besar untuk menunjukkan kuasa politik mereka di kedua-dua peringkat pusat dan negeri.

Kedua-dua perkara itu berkaitan dengan mesej ketiga, iaitu meletakkan harapan tinggi agar peratusan keluar mengundi adalah lebih tinggi berbanding beberapa PRK lain sejak selepas separuh kedua tahun lepas. PRK DUN Pelangai merekodkan 72.2 peratus orang keluar mengundi. Di Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, peratusan keluar mengundi menunjukkan penurunan daripada 69 peratus semasa PRN 2023. PRK Kuala Kubu Baharu mencatatkan 61 peratus.

Sehingga tengah hari tadi kedua-dua gabungan yang bersaing tidak dapat mengatakan dengan penuh yakin siapa boleh menang dengan selesa.

Bermakna 50:50.

PN yakin boleh mempertahankan kerusi dengan mengambil kira gelombang hijau pada November 2022 dan Ogos lalu. Di atas PH dikatakan mempunyai peluang untuk menawan kembali DUN Sungai Bakap.

Apa pun, kemenangan adalah penting bagi kedua-dua PH dan PN dalam mengorak langkah-langkah politik seterusnya, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Isu yang dijadikan bahan kempen di Sungai Bakap tidak terlalu banyak. Kecuali isu yang sudah berlarutan. Dalam hujah kempennya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memohon maaf kepada penduduk Sungai Bakap yang berdepan kesulitan ekoran masalah air yang membelenggu kawasan itu sejak enam tahun lalu. Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang dipetik berkata, kerajaan negeri tidak lepas tangan apabila telah melaksanakan beberapa kerja kecemasan termasuk pelbagai projek dalam menangani masalah berkenaan. Tambah beliau, “Kita percaya (masalah air) ini akan berjaya ditangani sepenuhnya apabila projek yang dirancang termasuk (Projek Air Perak dan Pulau Pinang) dilaksanakan kelak.”

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan dua projek bakal dilaksanakan jika PH menang di Sungai Bakap. Projek tersebut ialah mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Sungai Bakap. "Saya berpandangan bahawa cadangan ini harus dilaksanakan kelak (jika PH memang PRK Sungai Bakap)," kata beliau. Isu perumahan dan peluang pekerjaan juga mendapat sepanjang tempoh berkempen.

Isu nasional turut mendapat perhatian. PN menggunakannya dalam serangan ke atas kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tindakan beliau  tidak turun berkempen di Sungai Bakap kerana mahu memberi tumpuan kepada urusan negara dan rakyat. Antara isu nasional ialah penstrukturan subsidi bahan apa diesel, peningkatan kos sara hidup dan penjualan saham MAHB kepada BlackRock. Anwar yang juga Menteri Kewangan ‘berkempen’ dari jauh dengan menjawab isu-isu itu dari Putrajaya dan Kuala Lumpur, tetapi lawannya menembak dalam setiap program kempen di Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap melibatkan persaingan dua penjuru sebagaimana disaksikan semasa PRN lalu. PN meletakkan harapan ke atas Abidin Ismail manakala PH diwakili oleh Dr Joohari Ariffin. Hari-hari awal minggu pertama tempoh berkempen menyaksikan isu dimainkan berlegar di sekitar kredibiliti dan latar belakang calon yang ditampilkan terutama Abidin yang merupakan pegawai khas Nor Zamri dan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal. Kedua-dua mereka merupakan anak jati Sungai Bakap.

Kerusi Sungai Bakap dipertandingkan sejak PRU pertama yang diadakan pada tahun 1959. Kerusi itu kekal sebagai kubu kuat BN sehingga tahun 2008 sebelum dirampas oleh PR dalam PRU pada tahun tersebut dan kekal disandang wakil PKR sebelum beralih kepada PAS Ogos lalu.

Sungai Bakap terdiri daripada 59.4 peratus pengundi Melayu, Cina (22.5 peratus), India (17.4 peratus) dan lain-lain 0.7 peratus. Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih – 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Menjelang hari pengundian esok, Sungai Bakap, sebagaimana disaksikan sejak awal kerusi itu kosong, membawa kita kepada gelanggang saingan Kuala Kubu Baharu. Akhirnya gambaran itu sangat ketara di Sungai Bakap.

Pengundi Melayu khususnya ahli-ahli UMNO dilihat akanl menentukan hala tuju kemenangan esok. Adakah mereka yang menjauhi BN-UMNO sejak dua tahun lalu akan kekal di sebelah PN? Sementara PN kukuh dengan sentimen positif orang Melayu dan orang muda, PH yakin bahawa calon boleh mencatatkan kemenangan dengan memikat sokongan ahli-ahli UMNO yang dianggarkan sekitar 5,000 orang. Jika UMNO boleh menyumbangkan antara 2,500 hingga 3,000 undi untuk calon PH-PKR, ia akan membolehkan gabungan besar kerajaan perpaduan mencatatkan kejayaan esok.

Jika orang Melayu dan ahli-ahli UMNO kekal dengan sentimen pro-PN, bermakna kemenangan akan memihak kepada PN dan PN akan kekal di Sungai Bakap.

Apakah perubahan atau anjakan akan menjadi realiti sebagaimana berlaku di Kuala Kubu Baharu? Pemimpin UMNO dan PH yakin akan kemungkinan itu.

Pemimpin-pemimpin India dan Gerakan dalam PN pula yakin bahawa mereka akan menarik sehingga 30 peratus undi orang India di Sungai Bakap. Ia satu misi sukar, tetapi yakin.

Bersandarkan kepada pemerhatian awal, UMNO dilihat akan memainkan peranan penentu kemenangan di Sungai Bakap. PRK Sungai Bakap pastinya akan menjadi pentas menguji sokongan kaum Melayu kepada PAS dan PH.

Atas kertas, mood kemenangan diramalkan memberi kelebihan kepada PH. Bagaimanapun PN pasti akan menggunakan kelebihan sentimen atau gelombang hijau November 2022 dan Ogos 2023 untuk terus kekal berkuasa di Sungai Bakap.

Faktor peratusan keluar mengundi akan menentukan corak kemenangan esok. Keputusan esok akan membawa mesej penting dalam politik negara.


* Dr G Manimaran merupakan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.