Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri berkata beliau berpuas hati dengan peratusan kehadiran pengundi yang ramai sejak 8 pagi tadi dan berharap jumlah itu bertambah di sebelah tengah hari dan petang.
"Saya berpuas hati dengan kehadiran pengundi yang bersemangat di kawasan ini. Belum sejam pusat mengundi dibuka tetapi nampak agak ramai, tak putus-putus baris.
"Selepas ini saya akan terus melawat pusat-pusat mengundi. Jadi kita harapkan cuaca yang baik ini akan membolehkan peratusan mengundi tinggi kali ini," katanya kepada pemberita.
Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail turut senada dengan Joohari dan menasihati semua pengundi mengambil kesempatan turun awal.
"Keluar awal dan jalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi agar dapat membawa isyarat dan perubahan," katanya selepas mengundi di saluran tiga pusat mengundi SK Sungai Duri.
Di pusat mengundi itu, sembilan saluran dibuka membabitkan 5,745 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pengundi layak untuk mengundi hari ini dengan sembilan pusat mengundi dan 65 saluran dibuka untuk tujuan pengundian.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan calon PN Abidin yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
-- BERNAMA