Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan yang sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan MADANI.
"Kerajaan MADANI menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara.
"Dengan dasar dan komitmen yang jitu, Gabungan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Pada PRK itu, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan Joohari Ariffin.
PRK Dun Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.