BANGI: Menjelang hari penamaan calon yang berlangsung esok (5 November), Astro AWANI meluaskan perspektif ramai dengan program siaran secara langsung di salah sebuah lokasi ‘kerusi panas’ Bangi, malam ini.

Kunjungan kami ke Bangi yang memiliki jumlah pengundi lebih 300,000 orang itu, antara lain bakal mengupas isu kritikal yang ingin disuarakan oleh masyarakat setempat dan pengundi yang mendambakan pencerahan visi, jaminan serta penambahbaikan demi masa depan mereka.



Antara topik tumpuan adalah tentang kebimbangan penduduk terhadap kos sara hidup, kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan dan gaji golongan belia, pendidikan, kestabilan politik serta harapan penduduk Bangi terhadap bakal calon yang bakal mewakili aspirasi mereka.

Siapa yang bakal menjadi pilihan pengundi?

Berdasarkan pengumuman sebelum ini, antara nama yang bakal mengisi ‘kerusi panas’ Parlimen P102 di Bangi pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) nanti adalah Syahredzan Johan mewakili Pakatan Harapan/DAP; Muhammad Nazrul Hakim Nazir (Perikatan Nasional/Pas); Hoh Hee Lee (Barisan Nasional/MCA); Annuar Salleh (Gerakan Tanah Air (GTA)/Berjasa) dan Profesor Jamal Hisham Hashim (Bebas).



Siaran sudahpun bermula jam 5 petang tadi bersama Shafizan Johari yang mengupas variasi isu bersama tetamunya, Timbalan Pengarah KITA-UKM, Prof Dr Kartini Aboo Talib; Koordinator Dapur Jalanan Kuala Lumpur, Quratulain Atiqah; dan Presiden Global Girls For Girls, Izzana Salleh.



Perincian liputan berterusan hingga ke malam ini, dengan laporan penuh dan komprehensif bersama wartawan lokasi yang bersiaran secara langsung dari Bangi Gateway.



AWANI745 akan disampaikan Luqman Hariz berkongsi gelora politik menjelang detik penamaan calon bersama panel jemputan, Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Siaran langsung akan diteruskan pada jam 8.30 malam membawakan diskusi Malaysia Memilih dalam Agenda AWANI bersama Essan Yahya, Dzulfitri Yusop, Nazri Kahar dengan calon-calon Parlimen 102 Bangi. Antara tumpuan tentunya memahami demografi Parlimen Bangi yang mempunyai jumlah pengundi terbesar.

Perkembangan semasa diteruskan dalam AWANI Tonight bersama Cynthia Ng pada pukul 12 tengah malam.

Jangan lupa saksikan Astro AWANI, saluran pilihan raya ke 15 dan layari laman sesawang www.astro.com.my untuk informasi sahih dan terkini.