KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya akan mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik lain setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai, bagi memastikan pembentukan kerajaan Persekutuan yang stabil.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata buat masa ini fokus GPS adalah untuk memastikan gabungan itu menang besar dalam pilihan raya kali ini demi meneruskan agenda memperjuangkan hak Sarawak.

"Yang penting kita sudah nyatakan kepada rakyat Sarawak yang GPS adalah GPS. Kita belum tentukan lagi dengan siapa kita akan bekerjasama. Yang penting bila kita membentuk kerajaan nanti, kita lihat apa langkah dan keputusan selepas pilihan raya," katanya kepada media selepas menghadiri majlis santai bersama ketua masyarakat di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan empat calon mereka bertanding di Sarawak pada PRU15 adalah hak gabungan itu.

"Itu hak mereka (PN) dan bila mereka meletak calon bermakna mereka hendak berlawan dengan GPS. Kita akan melawanlah, kita akan lawan dan pastikan GPS akan menang," katanya yang juga Menteri Kanan Kerja Raya.

GPS yang merupakan gabungan terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) merupakan rakan kepada PN dalam membentuk kerajaan Persekutuan, susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Dalam pengumuman pada Selasa malam, Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan dua penyandang kerusi Parlimen, Datuk Ali Biju dan Jugah Muyang, untuk mempertahankan kerusi masing-masing di Saratok dan Lubok Antu.

Dalam PRU14, Ali bertanding sebagai calon PKR dan memenangi kerusi Saratok dengan majoriti 989 undi manakala Jugah yang bertanding sebagai calon bebas memenangi kerusi Lubok Antu dengan majoriti 1,059 undi.

Kedua-dua mereka kini merupakan anggota Bersatu.

Muhyiddin turut menamakan Ketua Penerangan Bersatu Sarawak Duke Janteng sebagai calon di Parlimen Bintulu, manakala seorang lagi calon akan diumumkan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Batang Lupar.

-- BERNAMA