Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan telah menyenaraikan beberapa projek fizikal namun perkara tersebut mengambil masa panjang untuk disiapkan.
Menurutnya, bagi langkah masa pendek, beberapa kerja kecemasan telah dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melalui aduan yang dilakukan oleh penduduk.
"Saya mohon maaf kepada pengguna air terutamanya di Sungai Bakap yang menjadi mangsa akibat gangguan air di kawasan ini.
"Tapi PBAPP telah melakukan beberapa kerja kecemasan dan saya percaya dalam tempoh ini, kita juga kurang mendapat aduan dan secara keseluruhan kita dapat tangani juga," katanya pada malam Sabtu.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Padang Lalang, Simpang Ampat, di sini.
Jelas beliau, usaha mencari sumber air mentah alternatif juga telah dilaksanakan sejak tahun 2009 lagi.
Menurutnya, usaha itu dilakukan di samping projek jangka masa panjang dan sederhana seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di daerah Kerian dekat Utara Perak dan Projek Air Perak-Pulau Pinang.
"Lapan projek jangka masa pendek telah serta sedang dilaksanakan termasuk pengoperasian loji rawatan air (LRA) Bukit Panchor yang kini kian memulihkan beberapa ribu pemegang akaun air yang terjejas sekitar Sungai Bakap di daerah Seberang Perai Selatan," ujarnya.
Menurut Kon Yeow, Calon PH, Dr Joohari Ariffin diharapkan menjadi pilihan pengundi Sungai Bakap pada hari pengundian 6 Julai ini bagi memberi ruang kepadanya untuk menyelesaikan masalah rakyat seperti masalah air di kawasan itu.
Pada Sabtu, media melaporkan Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 Sungai Bakap mendakwa, projek Tangki Sedutan Widuri dan Welleslley di kawasan berkenaan tidak berfungsi secara konsisten bagi memulihkan bekalan air.
Menurut Pengerusinya, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi, penerimaan air di tangki juga dilihat tidak konsisten sama ada melalui penghantaran jaringan paip ataupun penggunaan lori tangki jumbo.
Jawatankuasa tersebut mencadangkan penyelesaian segera bagi masalah air di Mukim 5 sewajarnya adalah melalui rundingan kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan air bersih daripada LRA Lubuk Buntar, Kedah yang bakal mempunyai lebihan 10 Juta Liter Sehari (JLH) pada September 2024. - Sinar Harian