Berikut adalah ulasan ke atas kenyataan majlis Syura Ulama PAS:

Keputusan Majlis Syura Ulama PAS pada 2 Januari lalu yang "bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya" tetapi bahawa "PAS tidak akan menyertai BN" adalah satu keputusan positif yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk diadakan perundingan segera bagi membentuk kerjasama antara PAS dan UMNO.

Sangat menarik untuk diperhatikan bahawa keputusan Majlis Syura Ulama ini menyebut bahawa ia bersetuju untuk "meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak" tanpa memberikan apa-apa sekatan ke atas bentuk kerjasama tersebut, di mana ia boleh jadi kerjasama politik dan boleh jadi kerjasama bukan politik, sekaligus memberi lesen besar kepada usaha pembentukan kerjasama politik antara PAS dan UMNO/BN.

Penekanan bahawa "PAS tidak akan menyertai BN" pula tidak boleh dianggap sebagai penghalang kepada kerjasama politik antara PAS dan UMNO/BN ini malah ia adalah satu penegasan yang tidak sukar difahami memandangkan kepada sensitiviti sebahagian pemimpin dan ahli PAS ke atasnya lantaran pengalaman lampau PAS menyertai BN antara 1974 dan 1977 dahulu.

PAS tidak menyertai BN juga adalah sesuatu yang sangat praktikal bagi mengelakkan komplikasi yang boleh timbul ekoran kemungkinan akan ada parti komponen BN yang tidak begitu bersetuju dengan penyertaan PAS di dalam BN sedangkan ia memerlukan persetujuan kesemua parti komponen.

Keputusan Majlis Syura Ulama PAS ini sekali gus menjadikan pembentukan kerajaan campuran PAS-UMNO/BN sebagai sesatunya pilihan terbaik yang ada di dalam konteks kerjasama antara PAS dan UMNO/BN.

Pembentukan kerajaan campuran ini sememangnya sangat sesuai diusahakan memandangkan PAS sendiri pernah menyertai kerajaan campuran PAS-UMNO/Perikatan antara 1973 dan 1974, malah kerana PAS juga telah pernah bersetuju untuk merundingkan pembentukan kerajaan campuran PAS-UMNO/BN pada 1996.

Ia juga adalah sesuatu yang sangat praktikal kerana ia tidak terlalu mengikat kedua-dua pihak, dibuat untuk memenuhi tujuan-tujuan tertentu dan mengikut syarat-syarat malah mungkin untuk suatu tempoh yang dipersetujui bersama sahaja.

Ulama PAS
Antara PAS dan UMNO boleh berlaku kerjasama politik dan boleh jadi kerjasama bukan politik, sekali gus memberi lesen besar kepada usaha pembentukan kerjasama politik antara kedua-duanya. - Gambar hiasan


Proses pembentukan kerajaan campuran PAS-UMNO/Perikatan yang tidak pun rumit pada 1973 dahulu mungkin perlu diikuti sebagai panduan.

Ajakan supaya PAS bekerjasama dengan UMNO dalam bentuk kerajaan campuran ini mulanya dilontarkan oleh Tun Razak Hussein dalam ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO pada 24 Jun 1972 dan disambut baik oleh Tan Sri Asri Muda di dalam ucapan dasar Presiden di Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 28 Julai 1972.

Ekoran persetujuan Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini kepada usaha merundingkan pembentukan kerajaan campuran ini berlakulah perundingan antara pemimpin PAS, Tan Sri Asri Muda dan Abu Bakar Hamzah, dan pemimpin UMNO, Tun Razak Hussein dan Tun Dr Ismail, sebanyak tiga kali, iaitu pada 16 Ogos, 5 September dan 4 Disember 1972.

Hasil daripada perundingan ini, satu persefahaman bersama telah ditandatangani oleh Tun Razak dan Tan Sri Asri pada 28 Disember 1972 sekaligus membolehkan kerajaan campuran ini terbentuk pada 1 Januari 1973.

Apa yang penting di dalam proses ini ialah kesudian kedua-dua pihak untuk berunding sehingga menghasilkan persefahaman jitu yang boleh dipegang secara bersama.

Persefahaman PAS-UMNO/Perikatan dahulu contohnya menyenaraikan dengan jelas 6 garis kasar perjuangan PAS melalui kerajaan campuran, khususnya untuk "berusaha memberi nilai-nilai Islam kepada perundangan dan perlembagaan negara".

Ia juga menyenaraikan 8 persetujuan khusus mengenai agihan jawatan untuk kedua-dua pihak di peringkat Pusat dan Negeri. Ia juga merakamkan persetujuan kedua-dua pihak untuk tidak berlawan sesama sendiri dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Ia juga menggariskan jaminan untuk pimpinan PAS membangkang cadangan atau undang-undang yang berlawanan dengan Islam. Lebih jauh lagi, ia menggariskan tempoh kuat kuasa kerajaan campuran tersebut, iaitu sehingga pilihan raya umum sahaja, dengan keputusan untuk meneruskannya atau tidak akan dibincangkan bila waktunya tiba.

Sehubungan dengan ini, sangatlah diharapkan agar UMNO/BN atau setidak-tidaknya pihak ketiga seperti WAAG akan segera membuat jemputan rasmi kepada pihak PAS untuk merundingkan soal kerjasama di antara PAS dan UMNO/BN ini.

Pemimpin PAS tidak seharusnya berselindung di sebalik nama tokoh-tokoh seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat atau Datuk Fadzil Noor kerana kedua-duanya pernah bersetuju untuk berbuat perkara yang sama pada 1996 dahulu tatkala PAS menghadapi masalah dengan S46 di Kelantan.

Jelas tercatat di dalam Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 17 November 1996 mengenai persetujuannya melantik Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Datuk Mustafa Ali untuk memulakan proses perundingan bersama UMNO/BN dengan empat garis panduan berikut:

(1) Bukan penyertaan dalam BN.
(2) Konsep kerajaan campuran perlu dirujukkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
(3) Boleh dirundingkan di peringkat kerjasama bagi menghadapi isu/masalah bersama.
(4) Kedua-dua wakil ini tidak perlu memberi apa-apa komitmen sebelum dibawa nalik ke peringkat Lajnah Politik PAS Pusat atau Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Paling tidak pun, kerjasama bukan berbentuk politik juga boleh dimulakan segera mengambil kira perpecahan umat Islam yangg berpunca dari pertikaian politik UMNO-PAS sudah menjangkau setengah abad sedangkan ancaman terhadap aqidah ummah dari aliran pemikiran ekstrim liberalisme dan ekstrim militan semakin parah.

Agensi-agensi agama dan institusi-institusi pengajian tinggi Islam boleh digerakkan ke arah perpaduan ummah melalui berbagai kegiatan yang berteraskan kedaulatan Islam.

Eloklah jika kedua-dua pimpinan PAS dan UMNO merenung kandungan ayat al-Qur’an ini: "Dia telah mensyariatkan bagi kamu (Muhammad), tentang agama, (seperti) apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh, dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, yaitu:

'Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya'. Amat berat bagi orang-orang musyrik (untuk mengikuti) agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya, dan memberi petunjuk kepada (agama-)Nya orang yang kembali (kepada jalan-Nya)." – (42:13)



Dr Kamarul Zaman Yusoff merupakan Ketua Kluster Perpaduan Ummah, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Merangkap Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia.

Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.