Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi memaklumkan kemenangan itu merupakan hasil usaha keluarga besar parti yang mempunyai semangat jitu untuk melihat kemenangan ahli parti di seluruh peringkat.
"UMNO dan BN menumpukan perhatian sepenuhnya dalam PRK DUN Nenggiri agar wakil memperoleh kemenangan di bumi Kelantan. Meskipun berdepan tohmahan dan cacian yg dilemparkan kepada UMNO selepas PRU sehingga sekarang, kami terus mengorak langkah dan ia diterjemah menerusi gerak kerja dalam PRK kali ini," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Nurul Amal turut merakam penghargaan kepada seluruh pucuk pimpinan dan ahli UMNO dan BN termasuk pimpinan tertinggi UMNO Kelantan.
"Kerja sebagai sebuah keluarga dengan satu tekad untuk parti jika dikuatkan lagi, Insya-Allah membawa kebaikan kepada UMNO.
"Itulah saya lihat dalam dalam PRK kali ini dan ini keluarga besar UMNO yang dirindui," katanya.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kemenangan ini juga adalah pemangkin dalam meneruskan usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN.
Keputusan PRK DUN Nenggiri menyaksikan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail dengan memperoleh 9,112 undi berbanding 5,741 undi sekali gus BN meraih majoriti 3,372 undi.