NIBONG TEBAL: Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini amat penting kepada Kerajaan Perpaduan kerana akan memberi imej yang baik terhadap kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya komited untuk mengekalkan kerjasama yang baik kerana PH sebelum ini telah membantu mereka dalam beberapa PRK dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kemenangan di Sungai Bakap ini sungguh penting untuk Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang dan juga imej untuk Kerajaan Perpaduan (di peringkat nasional).

"(Jadi) saya memohon kepada pengundi-pengundi supaya berikanlah sokongan kepada calon kami dan insya-Allah jika beliau terpilih, tentunya rakyat Sungai Bakap akan lebih berkeuntungan kerana beliau akan bersama-sama kerajaan negeri dan kerajaan negeri juga di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya pada Malam Kasih Bersama Pemimpin di Dewan Khairat Sungai Kechil, di sini malam ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata sekiranya kemenangan berpihak kepada PH, beliau berjanji akan membantu calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin untuk membawa pelbagai keperluan termasuk kemudahan asas kepada penduduk di Sungai Bakap.

"Sangat rugi kalau pengundi memilih calon lain kerana calon itu tidak sama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan, sebab itulah kesungguhan kami (BN) bekerja jelas.

"Kami yakin bila berlaku PRK di DUN Nenggiri nanti, mereka (PH) juga boleh membantu kami sebagai tanda jalinan kasih kami untuk mengerakkan jentera daripada parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi memenangkan calon kami (BN) pula," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata kemenangan PH pada PRK berkenaan juga akan menjadi 'hadiah' kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lahir di Sungai Bakap.

Sementara itu, beliau berharap Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dapat diwujudkan segera di kawasan Seberang Perai Selatan selain terdapat keperluan untuk meneruskan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang terbelangkai di Sungai Bakap.

"Saya sudah berbisik perkara ini kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan insya-Allah, permintaan masyarakat India akan dapat ditunaikan jika Cikgu Joo (Joohari) menang," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut

-- BERNAMA