Badan Perhubungan Umno Kelantan pada Sabtu, menghantar notis memaklumkan mengenai kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar serta kekosongan kerusi berkenaan kepada Speaker DUN Kelantan, Abdullah Yakob.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mustapha Mohamed notis berkenaan telah di hantar ke pejabat Speaker jam 10.45 pagi Sabtu.

"Setelah mendapat notis berkenaan, Speaker akan memaklumkan kepada Suru‎hanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas menerima notis kekosongan tersebut."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri di sini pada Sabtu.

Kerusi DUN Pangkalan Kubor kosong apabila penyandangnya, Noor Zahidi dari BN meninggal dunia pada 20 Ogos lepas akibat‎ kanser hati.

Umno Kelantan juga akan mengadakan mesyuarat dan pertemuan dengan semua ahli jawatankuasa empat peringkat Umno Bahagian Tumpat bagi merangka program dan mendapatkan maklumbalas sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis tertinggi (MT) di Kuala Lumpur pada Jumaat depan.

Segala persiapan akan dilakukan selepas laporan mengenai DUN Pengkalan Kubor disiapkan dan dibentangkan kepada presiden, timbalan presiden parti dan MT.

Mustapha mengakui Pilihanraya Kecil DUN Pangkalan Kubor merupakan satu cabaran buat BN untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi selama tiga penggal itu.

Katanya, Parlimen Tumpat dikuasai oleh PAS manakala DUN Pasir Pekan yang juga kawasan bersempadan DUN Pangkalan Kubor‎ diwakili oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Ketika ditanya mengenai calon yang bakal ditampilkan oleh BN Kelantan, Mustapha yang juga Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri menjelaskan bahawa soal calon masih terlalu awal untuk dibincangkan.

Namun beliau menegaskan calon yang akan dipilih tentulah calon yang boleh menang.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin kerusi DUN Pengkalan Kubor mampu dipertahankan.

Ini kerana Allahyarham Noor Zahidi disifatkan sebagai wakil rakyat yang sentiasa berpijak di bumi nyata semasa hayatnya berkhidmat kepada rakyat, katanya.

Katanya lagi, beliau percaya pengundi di DUN berkenaan bijak memilih calon berwibawa dan diyakini serta tidak akan melupakan jasa Allahyarham yang banyak disumbangkan di kawasan terbabit.