Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Kedah, Datuk Johari Abdul mengumumkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah yang baharu bagi menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkuatkuasa 5 Mac.

Jelasnya, prlantikan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan Pengerusi ketiga-tiga komponen PH negeri yang melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara dan DAP susulan keputusan yang diambil Bersatu Pusat untuk keluar daripada pakatan terbabit.

Walau bagaimanapun jelasnya, sokongan PH Kedah terhadap kepimpinan Mukhriz yang kini mengepalai kerajaan PH campur Bersatu di Kedah masih kekal meskipun keputusan terbabit dilihat tidak selari dengan kempimpinan Pusat.

Tambah beliau, satu perjumpaan bersama Mukhriz juga akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan tentang struktur dan hala tuju kerajaan negeri Kedah memandangkan negeri itu kini berstatus pembangkang.

"Saya telah berbincang dengan kawan-kawan dalam Keadilan, kita akan cadangkan perubahan struktur dalam Pakatan Harapan dan kita akan melihat kembali semua aktiviti kita dan kita akan perkemaskan, jadi sebagai Pengerusi Pakatan Harapan yang baharu yang mendapat mandat dan amanah dari parti Amanah dan DAP, saya berjanji untuk teruskan usaha kita yang murni ini, sebelum pilihan raya lepas macam-macam janji kita, sekarang saya lihat kenapa tidak boleh tunai janji tersebut," katanya di sini hari ini.

Tambah Johari, beliau turut menolak andaian bahawa akan berlakunya aktiviti "lompat parti" dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah bagi menyokong dan menyertai gabungan Perikatan Nasional.

Tegasnya, ketujuh-tujuh ADUN terbabit dilihat amat komited dengan parti dan PH selain menghormati amanah serta mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusi kan Mesyuarat Tertutup Kepimpinan PKR Kedah di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani, Jalan Tikam Batu-Sungai Petani pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa PH dan Bersatu Kedah akan menganjurkan Siri Ceramah Mandat Rakyat di beberapa kawasan yang dipilih bagi memberi penjelasan sebenar kepada rakyat di negeri itu berkenaan apa yang berlaku dalam dunia politik negara ketika ini.