PAS kecewa dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang disifatkan menyerang Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka, lapor Harakahdaily.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata, isu ketidakhadiran Abdul Hadi ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat merupakan perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan.

"Perlu diingat, kerjasama dalam konteks tahaluf siyasi adalah antara parti dengan parti, bukan individu dengan individu.

"Jika secara perbandingan, sejak 2008 Guan Eng lebih banyak tak hadir ke mesyuarat PR berbanding Tuan Guru Abdul Hadi. Tetapi itu bukan isu besar," Mustafa dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily.

Mustafa berkata, setakat ini tidak pernah berlaku sesuatu keputusan tidak dapat dibuat sekalipun Hadi dan Lim tidak hadir ke mesyuarat kerana setiap parti akan menghantar wakil masing-masing.

"Antara yang selalu hadir ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar yang mempengerusikan mesyuarat, Lim Kit Siang sebagai wakil DAP dan saya sebagai wakil PAS. Tidak ada masalah," katanya lagi.

Tegas beliau, pemimpin mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat termasuk Guan Eng sepatutnya berpegang kepada etika bahawa tidak boleh campur tangan dalam isu dalaman parti lain.

"Semua parti ada masalah dalaman. Tapi biar masing-masing parti selesaikan sendiri masalah mereka tanpa campur tangan luar.

"PAS sendiri tidak pernah campur tangan isu dalaman DAP. Saya minta Guan Eng hentikan tindakan membangkitkan isu remeh temeh ini," katanya.

Semalam Anwar dilaporkan berkata Pakatan Rakyat bakal menyusun semula jadual pertemuan selaras dengan jadual Abdul Hadi agar presiden PAS itu dapat hadir ke mesyuarat gabungan pembangkang itu.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan sering tidak hadir dalam mesyuarat Pakatan Rakyat dan menghantar Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Mustafa.

Anwar bagaimanapun menafikan ketidakhadiran Abdul Hadi disengajakan tetapi tidak menolak ia merupakan situasi yang amat jarang berlaku.