Seramai hampir satu juta anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dinasihat menggunakan pemilihan penggal 2018-2021 kali ini untuk membuktikan demokrasi sihat yang diamal selama ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia sekali gus platform membentuk pasukan terbaik untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Putrajaya kelak.

Jelasnya, pemilihan kali ini juga berbeza kerana pertama kali diadakan pada masa parti di dalam Kerajaan Persekutuan.

"Jadi harapan saya pemilihan ini dapat berlangsung dalam semangat demokrasi yang sihat supaya idealisme yang kita bina selama 20 tahun dapat dipertahankan dan direalisasikan.

"Ia untuk memastikan ketua umum sebelum ini yang juga sudah menjadi presiden kita iaitu Datuk Seri Anwar mendapat pasukan terbaik untuk bersama-sama beliau ke Putrajaya," katanya semasa ditemui di sini, pada Jumaat.

TONTON: Debat Angkatan Muda Keadilan

BACA:
'Ada yang kata saya tak sabar untuk jadi Perdana Menteri' - Anwar

Dalam pada itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menjelaskan, rakyat kini memerhati setiap gerak-geri parti termasuk pemilihan yang bakal berlangsung.

"Cadangan dan nasihat saya jangan nakal-nakal dan sentiasa ikuti arahan tentang isu disiplin dan juga tataetika.

"Pastikan kita lakukan yang terbaik kerana rakyat sedang melihat gerak geri kita, apa yang kita usahakan, apa yang kita sebut dan buat.

"Kita usahakan agar parti bertambah kukuh dan kita dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia dalam era Malaysia baharu ini," ujarnya.

Mengulas isu sama, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Dr Afif Bahardin berkata, pemilihan kali ini menarik dengan pertambahan bilangan calon dalam peringkat pusat, wanita dan cabang.

"Pemilihan kali ini prosesnya panjang dan saya yakin fokus kepada calon-calon untuk memberitahu dan menerangkan tentang manifesto mereka dan program-program dan strategi mereka untuk memperkukuhkan kedudukan parti.

"Mereka juga diminta tidak mengambil jalan singkat dengan menggunakan politik fitnah dan juga adu domba yang saya merasakan bukan satu sikap untuk seorang yang bergelar reformis.

"Kita berjuang sekian lama atas nama semangat reformasi. Kita perlu insaf dan tawaduk bahawa kita mahu berbeza dengan parti-parti lain terutama parti-parti daripada rejim lama. Kita mahu tolak politik lama dan kita mahu satu politik baru," tegasnya.

Tambahnya, pemilihan kali ini merupakan medan untuk mengukuhkan parti.

Katanya, slogan reformasi seharusnya seiring dengan sikap baharu dan bukan mewarisi tabiat daripada rejim lama.