SEOUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan tertutup bersama konglomerat Korea Selatan yang terdiri daripada syarikat Hyundai Motor dan OCI Holdings, di sini.

OCI Holdings merupakan sebuah syarikat tenaga dan kimia Korea Selatan dengan modal pasaran KRW1.16 trilion (kira-kira RM3.7 bilion). Syarikat berkenaan telah membuka ibu pejabat serantau pertamanya di Asia Tenggara di Malaysia pada April lalu.

Manakala perbincangan bersama Hyundai dijangka menjadi tumpuan bagi perniagaan di Malaysia. Ini memandangkan syarikat berkenaan telah mengumumkan RM126 juta bagi menubuhkan fasiliti pemasangan EV dan bateri di Thailand, pada 7 Ogos lalu, sekali gus menjadikan negara itu sebagai hab pembuatan jenamanya bagi mengeksport kenderaan di seluruh Asia Tenggara.

Pertemuan ini merupakan kesinambungan daripada pertemuan pada 30 September lalu, yang mana pihak Hyundai Motor telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.  

Melalui pertemuan tersebut, Tengku Zafrul berkata Hyundai mempunyai rancangan untuk meningkatkan pengeluaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan elektrik yang bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri automotif.

Dalam acara berasingan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Korean C-suite Insight Session bersama Poongsan Corporation, SIMMTECH Co. Ltd., Lotte Energy Materials, SPC Group, Star Group Ind. Co. Ptd. (SGI), Korea Aerospace Industries Ltd. (KAI), Kumho Petrochemical.

Delegasi Malaysia turut disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tengku Zafrul.

Delegasi Malaysia juga disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.

Anwar  dalam rangka lawatan  kerja ke Korea Selatan bermula 24 November lalu dan bakal berakhir pada Selasa.