SHAH ALAM: Ceramah Mega di Muar, Johor dikendalikan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dicemari insiden provokasi dan gangguan sekumpulan ‘mat motor’.

Difahamkan, gangguan terjadi ketika Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapannya, pada Ahad.


Bagaimanapun, insiden itu tidak mengundang perkara tidak diingini dan situasi berjaya dikawal polis dan sukarelawan program ceramah berkenaan.


Syed Saddiq yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar sempat mengulas mengenai insiden gangguan itu.

“Sampai bila kita nak dibeli? Sampai bila kita nak menjual maruah kita? Ini negara kita, ini Muar.

"Mari kita berikan ucapan terima kasih kepada abang-abang polis dan sukarelawan yang banyak membantu.

“Kepada anak-anak muda di luar sana, jangan jadi pencacai! Ini negara kita," kata Syed Saddiq.


Sementara itu, Naib Presiden MUDA, Mutalib Uthman berkata, ceramah pada mulanya tenang bertukar menjadi tegang apabila Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mula berucap.

“Kumpulan anak-anak muda yang memakai baju hitam sejak awal dah ada di kawasan pekarangan ceramah tapi tak bertindak apa-apa.

“Di tengah ucapan Syed Saddiq ada yang memulakan provokasi dengan melaungkan ‘penipu’ dan disusuli dengan cubaan untuk merusuh kawasan khemah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Ahad.

Jelasnya, cubaan mereka merempuh khemah gagal apabila dihalang oleh sekumpulan penyokong MUDA dan polis yang membentuk penghalang daripada memasuki khemah.

“Kumpulan itu pulang dengan menaiki motosikal tapi masih melakukan provokasi dengan membuat bising menggunakan motor mereka di jalan berhadapan kawasan ceramah,” katanya.

Dua klip video tular masing-masing berdurasi 1 minit 31 saat dan 45 saat memperlihatkan sekumpulan lelaki bermotosikal yang menganggu ceramah MUDA.

Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis.