Abidin sebaliknya berkata, semua soalan berhubung masalah bekalan air itu telah disediakan beliau sendiri selaku bekas pegawai khas Allahyarham Nor Zamri .
Menurut Abidin, isu tersebut telah dibawa ke Dewan Undangan Negeri pada November lepas, justeru dakwaan dibuat Rayer itu tidak benar.
“Saya yang buat soalan, memang kita buat soalan dalam sidang DUN tahun lepas (sekitar) dalam sidang DUN bulan 11 (November). Isu itu dibawa oleh arwah Abang Zam (Allahyarham Nor Zamri)
“Kita akan jadi sebagai pendesak check and balance (semak dan imbang) tentang air. Kalau sama-sama kerajaan dia akan diam saja, tapi kita sebagai pembangkang insya-Allah kita akan cuba selesai sebagai pendesak,” kata Abidin.
Calon PN PRK DUN Sungai Bakap itu berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan isu air tidak pernah dibahaskan bekas Allahyarham Nor Zamri seperti didakwa Rayer.
Dalam perkembangan sama, Abidin berkata, Allahyarham Nor Zamri telah menjalankan tugasnya sebagai semak dan imbang kepada kerajaan yang memerintah semasa hayatnya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari Ariffin, yang juga bekas Pengarah Insititut Aminuddin Baki cawangan utara, dan Abidin, yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal.
Kawasan Sungai Bakap, yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal, diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.