Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu sidang media pada Sabtu, kerusi N47 Chenderiang di Perak pula merekodkan jumlah calon teramai bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu tujuh penjuru.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya yang diadakan serentak turut menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.
Di kerusi Batu, Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) P Prabakaran yang merupakan penyandangnya akan mempertahankan kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua pula yang pernah menyandang kerusi Parlimen itu dari 2008 hingga 2018, kembali bertanding sebagai calon Bebas.
Tindakan itu yang digambarkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “sesuatu yang malang” mungkin menjurus kepada pemecatannya secara automatik.
[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka
Namun, tumpuan bukan sahaja terarah kepada pertembungan dua personaliti PKR, apabila Batu bakal menyaksikan penampilan beberapa muka baharu yang bertanding sebagai calon Bebas, seperti peguam Siti Kasim dan pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra.
Selain itu, turut merebut kerusi Batu ialah Datuk A Kohilan Pillay (Barisan Nasional), Azhar Yahya (Perikatan Nasional), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), P Naganathan (Warisan), Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia) dan Too Cheng Huat (Bebas).
Bermula hari ini sehingga 19 November, semua kerusi Parlimen dan DUN akan menjadi rebutan selepas SPR mengumumkan tiada kerusi yang menang tanpa bertanding.
“Enam kertas pencalonan ditolak, iaitu empat kertas Parlimen dan dua kertas DUN,” kata Abdul Ghani.