JIKA dilihat situasi hari ini, ramai memperkatakan Umno bakal mati atau dimatikan sebelum PRU15. Situasi ini berlaku setelah Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Bersatu.

Dijangka 40 lagi ahli Parlimen Umno akan menyertai Bersatu. Dijangka dengan penyertaan lebih ramai ahli Parlimen Umno ini menjadikan Bersatu parti terbesar yang mempunyai ahli Parlimen berbanding PKR, DAP dan Amanah.

Ditambah pula dengan kekuatan pengaruh Tun Dr Mahathir ke atas lebih ramai ahli Parlimen Umno yang berkhidmat dengan beliau suatu masa dulu.

Dalam percaturan politik, parti yang mati tidak semestinya rohnya mati kerana ahli-ahli parti masih hidup dan membawa bersama fahaman dan pendirian parti ke dalam bentuk parti lain.

Ini boleh dibuktikan apabila Umno diharamkan pada tahun 1988, ramai ahlinya yang berhijrah ke parti Semangat 46 sebuah parti baharu Pas dan Umno.

Apa yang berlaku seterusnya adalah roh perjuangan Umno semakin kuat dan kukuh. Ini boleh dibuktikan pada tahun 1988, semangat dan perjuangan Umno tidak diketepikan oleh ahli-ahlinya walaupun Umno telah diharamkan.

Sebaliknya boleh dijelaskan dalam PRU 1995, apabila hampir semua calon yang tidak berpihak kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir yang menerajui Umno baharu telah kalah.

Ini disebabkan pada tahun 1995, majoriti ahli Umno kembali semula kepada kepimpinan Umno baharu. Akhirnya Umno baharu berjaya memenangi 89 kerusi Parlimen, tambahan sebanyak 18 kerusi jika dibandingkan dengan keputusan PRU 1990.

Andai kata Umno dimatikan kali ini, ramai ahlinya yang berjumlah 3.5 juta akan berhijrah masuk ke Pas, Bersatu, PKR atau Amanah.

Pada akhir nanti, parti-parti ini akan diwarnai dengan DNA Umno dan kemungkinan besar parti-parti ini akan mula bersatu, sama ada secara langsung atau tidak.

Ini disebabkan ahli-ahli Umno yang berhijrah ke mana-mana parti sudah pasti akan mewarnai dan mempengaruhi parti tersebut.

Berkemungkinan besar satu hari nanti, bekas ahli-ahli Umno akan menguasai parti tersebut secara langsung jika keahlian asalnya menjadi minoriti.

Akibatnya, pengaruh Umno masih hidup walaupun parti itu telah lama diharamkan selepas beberapa tahun kemudian.

Walaupun kepimpinan Umno dikatakan rasuah, ia bukan alasan untuk mematikan atau dimatikan. Umno adalah parti dan kepimpinannya dipimpin oleh manusia.

Apa yang perlu dilakukan adalah memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat ke atas Umno.

Ramai tidak faham bahawa pengaruh DNA Umno tidak mampu dihapuskan kerana budaya politik Melayu adalah unik. Ia tidak mudah rapuh apabila semakin ditekan, kelihatan fleksibel tetapi ada kalanya terlalu rigid apabila krisis melanda.

Akarnya akan kembali bersatu apabila pucuk kepimpinan mulai tumbuh. Perlu diingatkan, darah perjuangan politik yang ada hari ini sejak 1946 lagi. Mana-mana parti Melayu hanya berbeza pandangan dan fahaman tetapi akar perjuangannya adalah sama.

Adalah tidak menguntungkan jika Umno diharamkan atau dimatikan. Semangat lawan tetap lawan akan dilaungkan semula seperti mana yang berlaku pada 1999. Cuma cara dan kaedahnya saja berbeza.

Jika dilihat pada 1999, semangat tersebut adalah untuk melakukan pembaharuan institusi dan pendemokrasian.

Kemungkinan kali ini, semangat tersebut akan membawa kembali kepada akar perjuangan untuk membela dan melindungi hak kepentingan Melayu dan Islam.

Penyatuan Melayu akan lebih hebat dan kukuh dengan Pas menjadi pilihan orang Melayu. Sudah pasti bekas ahli-ahli Umno tiada pilihan selain menyertai Pas jika tidak ingin menyertai PH.

Akibatnya, kebangkitan penyatuan Melayu Islam akan lebih hebat dalam melawan PH.

Tetapi jika masih hidup, mampukah Umno kembali bangkit dalam PRU15? Jawapannya bukan terletak pada bahu kepimpinan tetapi ahli-ahli Umno dalam mencorakkan semula ketokohan kepimpinan Umno selepas pasca Politik Baharu.

Strategi politik dan penyusunan semula jentera kepartian perlu direformasikan semula mengikut kehendak generasi muda hari ini.

Wadah perjuangan parti perlu diperhebatkan dan roh perjuangan Umno bukan lagi fokus kepada ketuanan bangsa tetapi kepada ketuanan rakyat bangsa.

Konsep Bumiputera dan anak watan perlu dijenamakan semula dalam perjuangan Umno. Ini amat penting supaya Umno berubah daripada sebuah parti bersifat etnik kepada komunal.

Perjuangan juga perlu melihat lebih jauh dalam konteks kerjasama strategik politik dengan Pas dan parti-parti bukan Melayu, sama ada ingin mewujudkan sistem dua parti atau tiga parti, sama ada memilih pemecahan pempolitikan Melayu atau bukan Melayu sebagai langkah seterusnya dalam PRU15 nanti.



Artikel ini ditulis oleh Dr Iskandar Hasan dan dipetik daripada portal Sinar Harian, 5 Nov 2018.

Dr Iskandar Hasan ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.