Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak mendedahkan beberapa lagi ketua UMNO bahagian di negeri ini meninggalkan parti.

Pengerusinya, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, tindakan yang dilakukan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal memang sudah diduga.

Katanya, dari 24 ketua UMNO bahagian di Perak, Syed Abu Hussin adalah ketua UMNO bahagian yang paling cemerlang.

“Pada PRU13, BN hanya menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong di Parlimen Bukit Gantang. PRU14 beliau telah merampas semula kerusi Parlimen Bukit Gantang, DUN Changkat Jering dan DUN Kuala Sepetang.

“Kenapa Syed Abu Hussin berjaya? Beliau gunakan kekayaan beliau untuk jaga parti dan pegawai-pegawai parti dengan baik. Rakyat dijaga dengan baik dan bukan cakap saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Syed Abu Hussin meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

VIDEO: Ahli Parlimen Bukit Gantang umum keluar UMNO

BACA: Zainol jangka lebih ramai wakil rakyat UMNO keluar parti


Hamdi yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu harus bertindak dengan bijaksana menentukan hala tuju politik.

“Yang penting amanah pengundi Bukit Gantang harus dilaksanakan dengan baik. Soal menyertai parti lain adalah hak beliau.

“Biarlah beliau rundingkan dengan orang kanan beliau. Orang lain tak payahlah nak bersentimen sangat,” katanya.