Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tohmahan kononnya kerajaan tidak adil dalam soal pelajaran kepada semua kaum, sengaja dibangkitkan, sebagai bahan kempen setiap kali pilihan raya.

Sebenarnya tidak timbul soal sekolah jenis kebangsaan akan ditutup kerana sekolah-sekolah itu akan kekal selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir negara, kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) misalnya sentiasa dibantu selama ini dengan jumlah peruntukan ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi menampung keperluan murid dan prasarana.

"Saya sebut ini untuk jelaskan, bila dekat pilihan raya satu daripada perkara yang digunakan dalam kempen ialah soal pelajaran...dan pembangkang akan kata kerajaan tidak berlaku adil kepada sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah mubaligh.

"Ada juga yang beritahu orang Cina bahawa kalau BN terus berkuasa, satu hari akan tutup semua sekolah Cina. Kalau saya dengar, saya pun marah. Tetapi sudah 56 tahun (negara) merdeka, saya nak tanya mana sekolah Cina yang kita tutup di seluruh negara?" kata beliau pada Majlis Ramah Mesra Warga SJKC Parlimen Pagoh bersama Timbalan Perdana Menteri di SJKC Ai Hwa, Panchor di sini.

Muhyiddin menegaskan bahawa ini bukti selagi kerajaan BN diberi kepercayaan, selagi itu sekolah Cina dan Tamil kekal dalam sistem pendidikan.