Ukraine hari ini memberi jaminan bahawa ia akan membantu dan bekerjasama dalam usaha menyambung semula operasi mencari, mengumpul bukti dan siasatan di tapak nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jaminan itu diberikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine Laksamana Ihor Kabanenko pada perbincangan mereka mengenai kerjasama dalam siasatan insiden MH17 dan pertukaran pertahanan antara kedua-dua negara di Kiev, Ukraine hari ini.

"Pada dasarnya, kami bersetuju bahawa sebuah pasukan antarabangsa merangkumi anggota dari Australia, Netherlands dan Malaysia diberikan akses awal yang selamat ke tapak nahas MH17 di timur Ukraine," katanya dalam kenyataan di sini,

Hishammuddin berlepas ke Kiev pada Ahad malam untuk memastikan keselamatan pasukan Malaysia ketika memasuki tapak nahas MH17.

Beliau berkata pasukan antarabangsa akan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) dan rakan antarabangsa relevan yang lain untuk memastikan kerjasama pelbagai pihak.