KUALA LUMPUR : Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dijadual menghadiri dan menyampaikan Kenyataan Negara di Mesyuarat Pleno Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

Menteri Luar juga akan menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin bermula hari ini hingga esok (29 November 2023), kata Wisma Putra.

Penyertaan Malaysia, menurut Wisma Putra, di kedua-dua mesyuarat tersebut bersama-sama negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Arab dan negara-negara sepemikiran di platform PBB bertujuan meningkatkan momentum dan tekanan supaya hak mutlak rakyat Palestin dikembalikan.

"Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB berlangsung pada hari yang sama dengan sambutan Hari Solidariti Antarabangsa Palestin.

"Zambry akan menggesa Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera dan efektif bagi memastikan gencatan senjata berkekalan.

"Selain itu gesaan untuk menyediakan koridor yang selamat bagi tujuan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan; dan menolak sebarang sikap pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa dan penetapan standard moral," jelas Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kata Wisma Putra juga, penyertaan Malaysia di kedua-dua mesyuarat tersebut menzahirkan komitmen kuat negara dalam usaha menangani konflik di Gaza.

Langkah ini turut menterjemahkan solidariti yang berterusan dan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.