KALAU arena pencak silat politik pertentangan, mungkin suaranya kurang kedengaran sejak tiga bulan lepas.

Tetapi kalau disentuh mengenai cerita masyarakat dan identiti Malaysia, suaranya lunak sekali.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akan memohon kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof agar membenarkan Batik Malaysia dipakai oleh semua ahli parlimen lelaki ketika bersidang di Dewan Rakyat.

“Sebelum ini ia tidak dibenarkan, jadi saya ‘terbakar’ sedikit.

“Kalau di Indonesia dibenarkan, kenapa tidak di Malaysia?” kata Nurul ketika ditemubual di dalam rancangan bual bicara Agenda AWANI.

Cerita batik ini bukan cerita baharu. Tetapi, Puteri Reformasi ini mahu ia jadi baharu. Ia seakan masih ada ‘ruyung’ yang belum dipecahkan. Kalau pecah pun, pecah tak habis.

Bak kata peribahasa, pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. Kena buat betul-betul. Menurut Nurul, ia seakan memerlukan suntikan ‘roh’ baharu dalam memperkenalkan semula Batik Malaysia kepada dunia.

“Kita tidak boleh alpa tentang keperluan melengkapkan rantaian bekalan.

“Apa mekanismenya, dimana nak mendapatkannya, mudah atau tidak untuk dipasarkan, harganya pula adakah memenuhi dan menepati kepelbagaian segmen permintaan,” ujarnya.

Nurul melihat di sebalik sesuatu produk batik itu, ada kudrat masyarakat terutama mereka di desa yang tidak lelah bertarung mencipta dan menjual.

“Saya lebih kepada ada peluang pekerjaan yang wujud. Sekarang pula zaman digital, kita saksikan teknologi boleh digabung jalin dengan sentuhan kreatif pembuatnya,” ujarnya.


Saudara serumpun, negara jiran Indonesia kini sudah tidak lagi berbicara tentang batik. Itu sudah jadi business-as-usual dalam memelihara warisan budaya Bangsa Indonesia.

Misalnya pada Selasa, Presiden Joko Widodo bercakap mengenai kain sarung.

Pak Jokowi mengusulkan cadangan supaya pemakaian kain sarung tenun diamalkan oleh rakyat termasuk memakainya ketika ke pejabat.