KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah adalah bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan memastikan pelantikan hakim dijalankan secara telus serta bebas daripada kuasa Eksekutif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata selain itu, penubuhan suruhanjaya berkenaan adalah seiring dengan usaha menaik taraf jawatan Hakim Syarie menerusi Akta Saraan Hakim Syarie.

"Kita ada Suruhanjaya Kehakiman yang mengawal selia pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Bagi Hakim Mahkamah Syariah, setakat ini tiada suruhanjaya atau duduk bersama-sama Suruhanjaya Kehakiman Sivil dan Hakim-Hakim Syarie dilantik sama seperti pegawai tadbir dan diplomatik, jurutera serta doktor di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

"Secara asasnya, cadangan mewujudkan Suruhanjaya Kehakiman Syariah adalah untuk memastikan supaya hakim-hakim ini dapat membuat keputusan tanpa diganggu-gugat oleh badan Eksekutif," katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Pada 15 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia berkata kerajaan akan menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memartabatkan status Hakim Mahkamah Syariah di negara ini.

Perkara itu mendapat perhatian kerajaan kerana terdapat keperluan bagi mengimbangi Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dan Skim Perkhidmatan Kehakiman Sivil.

Mohd Na'im berkata cadangan itu adalah antara syor dan resolusi yang dikemuka pada konvensyen berkenaan.

Selain itu, beliau berkata antara cabaran untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah ialah memastikan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan perundangan tertinggi negara.

Justeru itu, Mohd Na'im berkata kerajaan akan terus mengadakan sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak berkepentingan dengan memberikan pencerahan serta kefahaman kepada masyarakat umum berkaitan peruntukan dan undang-undang Mahkamah Syariah.

-- BERNAMA