KUALA LUMPUR: Biarpun tidak berada di Kuoru, French Guaina, Amerika Selatan, orang ramai yang hadir di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara tetap teruja untuk menyaksikan pelancaran satelit measat-3d awal pagi ini.

Seawal 3 pagi, kira-kira 600 jemputan terdiri daripada menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan, penjawat awam, pelajar dan media memenuhi dewan merdeka, aras 4, WTC bagi melihat sendiri pelancaran satelit measat-3d secara langsung dari Tapak Pelancar Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana.

Suasana awal pagi menjadi semakin meriah dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi sama-sama menyaksikan pelancaran  satelit paling canggih pernah dilancarkan oleh Malaysia melalui skrin gergasi.

Ismail Sabri tiba pada jam 4.36 pagi diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beberapa menteri kabinet turut hadir, termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dan Nenteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir Pengerusi Astro Malaysia Holdings Bhd, Tunku Ali Redhaudin Tuanku Mukhriz dan Pengarah MEASAT Global Shaharul Rezza Hassan.

Sempena pelancaran itu, pameran pencapaian inovasi sepanjang 25 tahun di seluruh Malaysia dalam bidang penyiaran dan telekomunikasi turut diadakan.

Satelit yang dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 di pusat angkasa lepas Guiana dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan jalinan digital negara (jendela).

Satelit MEASAT-3d akan mengembangkan liputan internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan internet, sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemudahan internet dengan lebih baik.

BACA: Satelit MEASAT-3d berjaya dilancarkan 


Roket Ariane 5, membawa MEASAT-3d selamat dilancarkan