Pahlawan negara, penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa, Sub Inspektor (B) Ngalinuh Bala @ Kilah Atu, 79, meninggal dunia di Hospital Miri pada Selasa.

Wira negara berbangsa Kelabit dari Kampung Pa’lungan, Bario itu menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6.47 petang akibat komplikasi paru-paru dan kencing manis.

Mendiang yang lahir pada 1 Januari 1941 merupakan antara enam penerima pingat tertinggi kepahlawanan negara itu dari Sarawak.

Lima yang lain ialah Lengku anak Cina, Rasli bin Buang, Etim anak Bijam, Inspektor Reggie anak Deli dan Datuk Kanang anak Langkau.

Ngalinuh mendapat pingat tersebut selepas terlibat dalam pertempuran menentang pengganas komunis di Sibu pada 29 April 1972.

Dalam kejadian itu, Ngalinuh yang berpangkat Koperal dan empat anggota pasukannya ditugaskan mengiringi penghantaran bahan letupan oleh pekerja Jabatan Kerja Raya menuju ke Kuari Mubal di Batu 54 Jalan Ulu Oya di Sibu sebelum diserang hendap komunis.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail turut hadir di kediaman mendiang bagi memberikan penghormatan terakhir. -Gambar Astro AWANI


Dalam insiden berlaku sekitar jam 1 petang itu Ngalinuh memimpin pasukannya untuk bertahan dan memastikan tiada pekerja awam yang cedera, dan bahan letupan yang dibawa tidak dirampas.

Ngalinuh turut berjaya membunuh seorang pengganas dan mencederakan seorang lagi.

Beliau sendiri bagaimanapun cedera terkena tembakan di peha sebelum kumpulan pengganas berjaya melarikan diri, setelah pasukan bantuan tiba.

Penganugerahan pingat kepada Ngalinuh berlangsung pada 6 Julai 1972.

Pada 1 Januari 1983, beliau dinaikkan pangkat sebagai Sarjan Mejar dan seterusnya 1 Januari 1999 sebagai Sub Inspektor sehingga beliau bersara pada 31 Disember 1995.

Ngalinuh meninggalkan seorang balu Sinah Ngalinuh Bala, 73, lima anak, sembilan cucu dan seorang cicit.

Anak mendiang Elvis Bala, 49, ketika ditemui berkata, sejarah kepahlawanan mendiang selama ini akan sentiasa diceritakan kepada generasi baharu bagi mengenang jasa beliau.

"Kami sangat bangga dengannya, baik sebagai seorang ayah ataupun wira negara," katanya.

Antara yang memberikan penghormatan terakhir kepada bmendiang di kediamannya di Kampung Lusut , Jalan Bario, ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Aidi berkata, negara kehilangan seorang pahlawan yang dikurniakan SP yang telah banyak berjasa kepada negara khususnya negeri Sarawak.

"Kehilangan itu bukan hanya kepada keluarga mendiang tetapi juga kepada negara terutama pasukan polis," katanya.

Upacara pengebumian Ngalinuh akan diadakan secara istiadat pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Kristian SIB di Lambir pada petang Jumaat.