KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.

WEF mengesahkan kehadiran Anwar menerusi hantaran di platform LinkedIn pada Sabtu.

"Anwar Ibrahim, Perdana Menteri #Malaysia, akan menyertai Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2025 di Davos, Switzerland," menurut hantaran itu.

Mesyuarat tahunan ke-55 yang bertemakan "Collaboration for the Intelligent Age", dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Jan di Davos-Klosters, Switzerland. Ia akan menghimpunkan pemimpin kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil untuk menangani cabaran global dan serantau yang mendesak.

Topik utama termasuk bertindak balas terhadap kejutan geopolitik, merangsang pertumbuhan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup dan membimbing peralihan tenaga yang adil dan inklusif.

-- BERNAMA