Ringkasan AI
- MTL lebih awal: Monsun Timur Laut dijangka tiba lebih awal pada minggu keempat Oktober, lebih awal dari ramalan asal.
- Kesiapsiagaan bencana: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat meningkatkan kesiapsiagaan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir besar, dan mobilisasi dilakukan tanpa mengira negeri atau lokasi.
- Amaran awal: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan mengeluarkan amaran lima hari sebelum hujan lebat atau air pasang besar, bagi mengurangkan risiko bencana dengan meminta mangsa banjir berpindah lebih awal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi mendepani risiko banjir besar khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko.
"Perubahan cuaca dan ramalan (MTL) datang lebih awal (iaitu) minggu keempat Oktober. Maka kesiapsiagaan harus dilakukan.
"Kesiapsiagaan harus dilakukan antaranya bagi Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mengenal pasti kawasan berisiko terutama di kawasan banjir termenung. Ini banyak berlaku di Pantai Barat Semenanjung dari Perlis hingga Johor," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Konvensyen Rakan NADMA Malaysia MADANI, Siaga Bencana, di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, mobilisasi akan dilakukan secara berstruktur tanpa mengira negeri atau lokasi.
"Kita tak mengira negeri atau lokasi tetapi mobilisasi ini dilakukan secara berstruktur, selain turut mendapat bantuan agensi bukan kerajaan (NGO).
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran awal lima hari sebelum berlaku taburan hujan melampau atau air pasang besar.
"Kita harap nasihat untuk berpindah diikuti sebaiknya oleh mangsa banjir demi faedah sendiri, sekali gus dapat mengurangkan risiko bencana," katanya.
Sebelum ini, METMalaysia memaklumkan MTL dijangka bermula November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.