Wartawan Astro AWANI, Harits Asyraf Hasnan memenangi tempat ketiga anugerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi kategori Kewartawanan Media TV yang diadakan pada Khamis.

Laporan tersebut menyentuh tentang kejayaan KPDNKK menumpaskan sindiket penyeludupan diesel di Perak yang menggunakan pelbagai cara termasuk mengubahsuai lori-lori bagi melakukan aktiviti haram mereka itu.

Laporan berdurasi kira-kira dua minit itu dijayakan oleh Harits bersama jurukamera, Stanley Nelson.

Dalam reaksinya, Harits berkata beliau amat berbesar hati dan berterima kasih kepada para editor dan rakan setugas Astro AWANI di Bursa Kuala Lumpur dan Perak, serta para pensyarah yang telah banyak memberi tunjuk ajar.

"Tidak sangka langsung... waktu itu saya masih praktikal. Saya hanya buat yang terbaik dalam setiap laporan," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga berharap agar terus mendapat bimbingan, nasihat dan dorongan dari Ketua Pengarang Kumpulan Astro AWANI, Suhaimi Sulaiman serta rakan setugas yang lain.

"Anugerah ini amat bermakna bagi diri saya kerana ia merupakan pemangkin untuk saya bekerja lebih keras lagi di bidang kewartawanan," katanya.

Tambahnya kemenangan tersebut turut menjadi pembakar semangat untuk beliau membuat yang lebih baik pada masa akan datang.


Anugerah tersebut telah disampaikan pada Malam Apresiasi Media Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNKK dan Agensi 2014 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Tempat pertama Anugerah Kewartawanan Media TV dimenangi Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot 'Suara Kita, Hak Kita' yang disiar TV1.

Sementara Anugerah Kewartawanan Media Radio, tempat pertama dan kedua dimenangi Bernama Radio menerusi Nur Syazwani Bakhtiar dan Hassan Sallehudin Yahya.

Bagi Anugerah Kewartawanan Media Cetak pula dimenangi Utusan Malaysia menerusi laporan penyelewengan diesel bersubsidi.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad.