KUALA LUMPUR: Pengarah filem Abang Adik, Jin Ong mengakui gembira dan tidak percaya apabila filem itu diumumkan sebagai Filem Terbaik di 10th Asian World Film Festival (AWFF) 2024 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Kemenangan itu sekali gus menyuburkan harapan untuk melihat ia tersenarai dalam pencalonan lima terbaik di Anugerah Akademi atau Oscar ke-97 tahun depan.

“Dua anugerah ini, bagi kami adalah satu penghormatan yang sangat besar dan sangat bermakna.

“Kali pertama saya di LA dan menghadiri festival ini, pasukan kami bertemu dengan ramai pengkritik, pengamal media, malah ahli Akademi dan kami mempromosikan filem Malaysia.

“Besar harapan kami untuk melihat ia berjaya (disenarai) dalam senarai pendek Oscar tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Filem Abang Adik dipilih sebagai wakil Malaysia untuk kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik dalam Anugerah Akademi ke-97 yang dijadual berlangsung Mac depan.

Ditanya tentang pengiktirafan yang diterima filem Asia ketika ini, Jin Ong berpendapat masih awal untuk meramal masa depan dan potensi filem Asia di Hollywood.

Beliau bagaimanapun meluahkan keyakinan bahawa jika peluang terus diberikan, Asia mampu menjadi pengeluar filem utama dan terbaik dunia.

“Sejujurnya, apa yang kita perlukan adalah lebih banyak peluang, lebih banyak sokongan daripada semua pihak serta platform yang berbeza.

“Saya harap setiap usaha kita akan berjalan lancar, bukan sahaja untuk Abang Adik, tetapi harapnya pada masa hadapan, akan ada lebih banyak filem Malaysia mendapat peluang dan menang di festival antarabangsa,” katanya lagi.

Dalam AWFF, Abang Adik mengenepikan 15 filem lain dari seluruh Asia untuk memenangi Piala Snow Leopard.

Selain Filem Terbaik, AWFF turut mengangkat pelakon utama Abang Adik, Wu Kang-ren sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

Ia merupakan pencapaian terbaharu filem tersebut yang sudah memenangi 19 anugerah dan pengiktirafan antarabangsa.

Antara pencapaian tertinggi Abang Adik ialah anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden Mulberry/, Black Dragon Critics' Award/, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.

Selain itu filem berkenaan juga menerima pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.