Mayat seorang warga Korea Selatan ditemui dalam keadaan berbungkus di dalam tandas bilik sebuah hotel di Genting Highlands.

Xiang Lian Jin, 92, dipercayai dibunuh rakan senegaranya.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata mayat mangsa ditemui pada 8.40 pagi tadi kira-kira 17 jam selepas biliknya dipercayai dimasuki seorang lelaki yang bersenjatakan pisau.

Mansor berkata suspek berusia 57 tahun itu dipercayai memasuki bilik mangsa pada pukul 3.30 petang Isnin ketika mangsa ada bersama pembantu rumahnya yang merupakan warga tempatan.

Identiti pembantu rumah itu masih dalam siasatan.

"Suspek telah meminta mangsa dan orang gajinya berdiam diri sambil mengacukan pisau dan mengikat kaki dan tangan mereka menggunakan kain dan tali. Suspek kemudian menumbuk mangsa dan berkata dirinya tidak berpuas hati dengan anak sulung mangsa kerana sering memburukkan dirinya.

"Suspek kemudiannya menarik mangsa ke tandas dan memukulnya sebelum meninggalkan mangsa di dalam tandas dan mengunci pintu. Suspek melarikan diri pada pukul 7 pagi tadi dan meninggalkan mangsa dalam keadaan masih berikat," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Mohamad Mansor menambah berdasarkan siasatan awal, polis percaya punca kejadian disebabkan perasaan tidak puas hati suspek yang berselisih faham dengan anak mangsa berhubung urusan pinjaman wang di Genting Highlands.

"Suspek dipercayai ingin membalas dendam dengan menyerang keluarga mangsa," katanya.

Mohamad Mansor menambah pembantu rumah mangsa turut cedera dan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai akibat dipukul suspek.

Beliau berkata gerakan mencari suspek sedang giat dilakukan dan sisatan masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA