Pakar keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Mizan Aslam berkata insiden penangkapan warga Israel bersama senjata api baru-baru ini menunjukkan peningkatan ancaman dari luar negara di Malaysia.
“Pemantauan kepada semua elemen rangkaian tersembunyi termasuk laman sesawang gelap, aliran wang digital dan mata wang kripto perlu dilakukan secara berterusan.
“Supaya kita dapat adakan kawalan, kalaupun tidak dapat menghapuskan ancaman ini sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Mizan menyarankan kesiapsiagaan di sempadan negara juga perlu ditingkatkan. Menurutnya, meskipun Malaysia tidak mengiktiraf negara haram Israel, itu tidak bermakna negara-negara asia tenggara lain mempunyai pendirian yang sama.
Beliau tidak menolak kemungkian wujud aktiviti pengintipan yang dilakukan oleh warga tempatan dari negara-negara jiran yang mesra dengan rejim Israel.
“Kalau operasi ini dikhususkan oleh Israel melalui warga negara jiran kita, maka ini akan menjadi ancaman yang kita tidak sedari.
“Ramai boleh berbahasa Melayu di negara-negara jiran kita. Ramai yang ada wajah dan rupa paras fizikal seperti rakyat Malaysia. Sukar untuk kita kesan dan syaki,” ujarnya.
Pada 27 Mac lalu, seorang lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang berusia 36 tahun itu masuk ke negara ini menggunakan pasport palsu Perancis.
Lanjutan itu, dalam sidang media pada Selasa, Razarudin menyatakan alasan warga Israel yang ditahan, Avitan Shalom, bahawa dia masuk ke Malaysia untuk memburu ‘Aeron’, kononnya disebabkan persaingan keluarga mafia, mungkin sekadar dicipta bagi mengalihkan tumpuan siasatan.
Tambahnya, keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini adalah menentukan motif sebenar lelaki berkenaan, selain memburu lebih dari dua lagi individu lain untuk membantu siasatan.
Polis masih tentukan motif sebenar Avitan Shalom