BUKIT MERTAJAM: Seorang warga emas di Kampung Dock, Jalan Pengkalan Bukit Tengah di sini buntu memikirkan keadaan rumahnya yang retak dan rosak teruk, didakwa akibat kerja-kerja pembinaan di rumah jirannya sejak dua tahun lepas.

Madina Ibrahim, 78 tahun, mendakwa rumahnya mengalami keretakan teruk di beberapa bahagian, termasuk pada dinding di dalam rumah iaitu di bahagian dapur, di dalam bilik, lantai, siling dan tembok di luar rumah.

Beliau berkata, rumah jiran yang masih dalam pembinaan itu mengganggu struktur rumahnya, yang telah didiami sejak 50 tahun lepas, dan dia kini bimbang dengan keselamatan dirinya dan rumah.

"Takutlah. Apabila ada bunyi-bunyi, pergi tengok, dapur retak habis. Sebelum kerja-kerja pembinaan di rumah sebelah ini, tak ada retak.

"Tetapi, selepas itu, retak paling teruk adalah di dapur," kata Madina.



Sementara itu, anak perempuannya, Syeda Bee Hanifah berkata, dia berharap masalah keretakan rumah mereka dapat diatasi segera.

Menurutnya, keluarganya tidak menghalang kerja pembinaan rumah jiran itu namun berharap pemiliknya lebih bertanggungjawab dan tidak bersikap lepas tangan dengan apa yang sudah berlaku. 



Sebelum ini, katanya, pihaknya pernah berbincang dengan jiran tersebut namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

"Sejak mereka (jiran) hendak pecahkan rumah, mereka ada naik tinggi tanah. Semasa itu, (keadaan) masih okey. Tetapi, selepas itu, kerosakan bermula.

"Yang pertama rosak, pintu rumah (di dapur) tak boleh dibuka. Lama-kelamaan, retak makin menjadi. Semakin lama, semakin besar.

"Selepas ada aduan, mereka berhenti sekejap. Selepas beberapa bulan, mereka mula bawa barang, bawa masuk besi besi dan tambun tanah.

"Apabila dia pasang konkrit, keretakan bertambah. Semua jadi retak. Macam di lantai, dinding, siling. Kalau hujan, basah, tak boleh nak masak," kata Syeda Bee yang turut risau keadaan ibunya yang mengalami masalah jantung. 



Katanya lagi, mereka tidak mampu untuk memperbaiki kerosakan di rumah mereka itu kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

Sehubungan itu, Syeda berharap ada pihak yang sudi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi ibunya kerana dibimbangi ia boleh mendatangkan risiko keselamatan pada masa depan.

Sementara itu, jurucakap Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan melakukan semakan dan siasatan terperinci berhubung dakwaan keretakan tersebut untuk tindakan selanjutnya.